Batu Pahat - Seramai 300 pelajar sekolah menengah di daerah ini berpeluang mendengar perkongsian pengalaman berhubung pengurusan kewangan dengan pelakon drama 'Mencintaimu Mr Photographer', Hanna Delisha.

Hanna atau nama sebenarnya, Hannah Adlina Blackburne Birchshe, 22, menceritakan kembali pengalaman bagaimana beliau membelanjakan gaji pertamanya duhulu.

Menurutnya, gaji diperoleh telah dibahagikan kepada tiga bahagian, yang mana bahagian pertama merangkumi perbelanjaan harian, bahagian kedua untuk membayar hutang serta bil dan bahagian ketiga pula untuk simpanan atau pelaburan.

“Saya hanya akan berbelanja setelah pendapatan saya dibahagikan kepada tiga dan akan menggunakannya untuk satu bahagian berdasarkan keperluan harian saya sendiri.

“Bagi pengurusan wang ini, saya berharap simpanan perlu dilakukan sejak di bangku sekolah lagi,” katanya pada Program MNRB Ringgit Savvy yang dianjurkan MNRB Holding Berhad (MNRB) sempena Minggu Saham Amanah Malaysia 2018 (MSAM 2018) di Stadium Batu Pahat, semalam.

Hadir sama, Timbalan Presiden dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Kewangan Modal Insan dan IT Permodalan Nasional Berhad (PNB), Datuk Mohd Nizam Zainordin serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MNRB, Mohd Din Merican.

Sementara itu, Mohd Din berkata, program bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai konsep pelaburan dan pengurusan wang yang bijak.

Katanya, pelajar disarankan menyertai satu permainan dinamakan ‘MNRB Hour Glass Board Game’ yang direka khas oleh MNRB.

“Permainan ini mengandungi enam komponen utama iaitu pelaburan dan simpanan, takaful, cukai bonus, bakat serta kerjasama dalam kumpulan.

“Ia dapat membuka minda pelajar mengenai senario dan cabaran mengurus kewangan yang bakal dihadapi selepas tamat persekolahan,” katanya.

Beliau berkata, MNRB menggunakan pendekatan interaktif untuk menarik minat pelajar terhadap kepentingan kemahiran pengurusan wang.

Jelasnya, ia secara tidak langsung dapat memberikan pelajar ilmu agar lebih bijak mengurus kewangan.