SEGAMAT – Seramai 170 guru termasuk Penglibatan Ibu Bapa dan Komuniti (PIBK) Johor konvoi motosikal kuasa tinggi ke enam daerah di negeri ini sempena pelancaran Gerakan Massa Terima Kasih Cikgu sempena Hari Guru 2018.

Exco Pendidikan negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, konvoi tersebut yang julung kali diadakan merupakan inisiatif Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) bagi memastikan sambutan Hari Guru turut dirai semua pihak termasuk komuniti.

“Program yang bermula dua hari sejak semalam (kelmarin) di Pasir Gudang jelajah ke Kota Tinggi dan Mersing. Hari ini (semalam) konvoi ini ke Segamat, Tangkak dan akan berakhir di Muar.

“Konvoi ini merupakan segmen ketiga dilakukan JPNJ kerana sebelum ini telah dilakukan Program Kembara Ziarah Terima Kasih Cikgu menggunakan 11 bas ke Johor Bahru, Kulai, Pontian, Batu Pahat dan Kluang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Pelancaran Gerakan Massa Terima Kasih Cikgu Peringkat Daerah Segamat di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Putra, semalam.

Turut hadir, Timbalan Pengarah JPNJ, Azman Adnan; Pengerusi Yayasan Muafakat, Anuar Abdul Manap; Pegawai Pendidikan Daerah Segamat, Nasir Mohamed Yunos dan Ketua Sektor Pengurusan Sekolah JPNJ, Abdul Rahim Lamin.

Menurutnya, program itu juga merupakan pendekatan yang baik selain salah satu usaha memastikan hubungan erat warga pendidik dan masyarakat di negeri ini berada di atas landasan yang betul.
 

www.gpsbestari.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.