MACHANG - Hubungan baik antara guru dan ibu bapa mampu mempengaruhi perkembangan pendidikan anak-anak, sekali gus membantu kejayaan mereka.

Justeru, penglibatan ibu bapa dalam apa sahaja aktiviti membabitkan anak di tadika sentiasa digalakkan, malah dialu-alukan.

Guru Tadika Perpaduan Pangkal Meleret, Nor Aini Ali berkata, pihaknya bukan sahaja mengalu-alukan penglibatan ibu bapa tetap masyarakat sekitar tadika berkenaan.

Katanya, suasana harmoni itu memberikan kesan positif malah proses pembelajaran dan pengajaran berlangsung dalam keadaan ceria.

“Ibu bapa sentiasa dialu-alukan bersama-sama dalam menjayakan apa sahaja aktiviti di tabika dan kami menerima sambutan memberangsangkan termasuk majlis hari raya ini.

“Mereka bersama-sama hadir menjayakan majlis malah turut menyediakan juadah hari raya untuk dinikmati beramai- ramai,” katanya selepas Sambutan Majlis Hari Raya Aidilfitri peringkat tadika di sini, baru-baru ini yang dijayakan 22 kanak-kanak tadika tersebut selain ibu bapa dan masyarakat sekitar.

Nor Aini berkata, pelbagai aktiviti dilaksanakan di tabika itu termasuk di luar kelas dalam usaha memberi pendedahankepada kanak-kanak sekali gus meningkatkan keyakinan diri mereka.

Kata beliau, pihaknya turut berterima kasih di atas sokongan ibu bapa dan berharap galakan itu diteruskan demi manfaat bersama.