RANTAU PANJANG - "Ibu, Affiq takut.. tak nak mati,” kata seorang remaja yang menderita akibat penyakit buah pinggang tahap tiga, di Kampung Kedap, semalam.

Mohd Affiq Najmiey Mohd Pauzi, 19, berkata, penyakit yang hanya disedari tiga bulan lalu merebak dengan cepat menyebabkan badannya membengkak.

Menurutnya, berat badannya dahulu 50 kilogram bertambah menjadi 75 kilogram memaksanya berhenti kerja di kedai makan di Melaka dan berehat di rumah bersama ibunya, Husnal Izalwati Hussin, 41.

Sebelum ini katanya, dia tidak menyedari kurang membuang air dan lenguh belakang merupakan petanda dia mempunyai penyakit kronik.

Anak kedua daripada empat beradik ini berkata, dia sepatutnya bekerja bagi menampung keperluan ibunya yang juga ibu tunggal, menyara dua lagi adiknya yang masih bersekolah di tingkatan empat dan tahun lima.

“Sekarang saya pula menjadi beban kepada ibu, saya tak mampu buat kerja berat malah ibu terpaksa menyediakan wang untuk perubatan saya.

“Ikutkan saya bosan makan 18 pil sehari, tapi mengenangkan ibu dan takutnya berdepan dengan ajal saya cekalkan hati serta ikut jadual pemakanan yang disediakan doktor,” katanya.

Sementara itu, Husnal berkata, pertambahan kos perubatan dan keperluan persekolahan anak-anak memaksanya bergantung pada anak sulung, Mohd Alef Najwiey, 20, yang bekerja di ladang buah di Pahang.

Husnal yang bekerja sebagai jurujual di sebuah pasaraya dekat sini berkata, gaji dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga membantunya mengurangkan beban sedia ada.

Namun katanya, dia perlu berusaha lebih gigih memandangkan bil perubatan Affiq sebanyak RM400 bulan lalu, masih tertunggak.

“Walaupun saya tinggal bersebelahan rumah mak, tapi saya tak sanggup bebankannya dan tinggal dalam rumah yang uzur ini.

“Kos perubatan dan persekolahan anak-anak lebih penting daripada membaiki bumbung rumah yang rosak teruk,” katanya