BERA - Segelintir ibu bapa dan penjaga terkejut apabila mengetahui anak mereka terpaksa membayar RM2.50 bagi sepinggan nasi lemak ayam yang dijual di salah sebuah kantin sekolah di daerah ini.

Pengadu yang hanya mahu dikenali sebagai Ida  berkata, harga itu tidak berpatutan bagi murid sekolah rendah, dan seharusnya  makanan yang dijual disediakan
dalam kuantiti yang bersesuaian pada peringkat umur murid.

“Saya jangka mungkin nasi lemak di sekolah dijual pada harga RM1, dan kalau ambil ayam mungkin antara 50 sen ke RM1. Jadi, anak boleh beli makanan atau minuman lain dengan jumlah wang saku yang diberi setiap hari.

“Tapi, bila saya tengok sendiri harga tu, saya sediakan bekal untuk anak sajalah.  Sepatutnya kenalah sesuaikan kuantiti makanan dalam sepinggan, kalau tak cukup,
mereka boleh beli lagi,” katanya.

Menurutnya, pihak sekolah atau pengusaha kantin  perlu peka dengan perkara berkenaan dan tidak sewenang-wenangnya meletakkan harga yang tidak berpatutan.

Sinar Harian turut mendapatkan pandangan seorang pengusaha kantin, Nora Tan, 49, mengenai kewajaran perkara itu.

Menurutnya, pihaknya mengambil berat perkara ini, bukan sahaja untuk memberikan makanan  yang sihat kepada murid, malah memastikan setiap hidangan dihabiskan tanpa pembaziran.

“Sekarang, kami jual RM1 untuk sepinggan nasi lemak,  mi goreng atau mi sup. Cuma kalau nak tambah ayam, seketul hanya 50 sen.

“Kuantiti pula diletakkan bersesuaian dengan perut murid. Kadang-kadang,  ada juga yang tak habis makan walaupun kami letak dalam kuantiti yang mengikut harga.

“Tidak dinafikan, kos bahan mentah sekarang mahal. Tapi, pandai-pandai pengusaha untuk menentukan kuantiti makanan bersesuaian dengan harga untuk murid,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pengusaha, Suhaina Mohd Salleh, 35, memberitahu,  pihaknya masih mengekalkan harga RM1 untuk sepinggan nasi lemak sejak tiga tahun lalu.

Katanya, memandangkan dia mengusahakan kantin  sekolah di kawasan perkampungan, tidak sewajarnya menyediakan menu yang terlalu mahal kepada murid.

“Cukup sekadar kenyang bila makan sepinggan, dan kalau masih tak kenyang, murid boleh beli lagi. Sebab bukan semua murid nak makan makanan berat masa  rehat.

“Ada yang sekadar makan kuih, itu pun saya jual pada harga 30 sen seketul. Begitu juga minuman, boleh beli dengan  harga 50 sen atau RM1,” katanya.

Katanya, sekiranya ada ibu bapa dan penjaga tidak berpuas hati dengan menu dan harga yang ditawarkan di kantin sekolah, seharusnya masalah itu dipanjangkan
kepada pihak sekolah untuk
berbincang secara baik.