MASIHKAH anda ingat Ahmad Ammar Ahmad Azam? Beliau meninggal dunia kerana dilanggar ambulans ketika melintas jalan di Istanbul, Turki, pada November 2013.

Selepas pemergiannya, Ammar begitu dikenali di Malaysia dan menjadi satu fenomena kerana berjaya menyentuh hati anak muda khususnya yang tidak mengenali Ammar.

Ammar disemadikan di Perkuburan Eyub Sultan menghadap Laut Golden Horn, yang menempatkan lebih 60 jasad sahabat nabi, auliya’, panglima Uthmaniyyah dan orang kenamaan di Turki. Hebatkan?

Adik-adik boleh ketahui lebih lanjut mengenai arwah Ammar melalui bacaan buku iaitu ‘Ceritera Cinta Ahmad Ammar’ dan juga ‘Setelah Ammar Tinggalkan Kita’.

Dengan membaca buku ini, adik-adik seolah-olah sudah mengenali Ammar ketika hayatnya.

Ibu kepada arwah Ammar, Nur Azlina Abdul Aziz telah berkongsi kebaikan dan amalan yang dilakukan oleh anaknya sepanjang arwah masih hidup.

 

“Saya bersyukur arwah Ammar dikenali selepas beliau pergi dan dikenal atas kebaikan serta amalannya.

“Buku bertajuk 'Cerita Cinta Ahmad Ammar' itu seolah-olah menjadi rujukan khususnya murid sekolah rendah dan mereka begitu teruja membaca,” katanya.

 

Mari kita lihat kebaikan dan amalan dilakukan Ammar semasa hayatnya.

Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada semua.

1) Taat kepada ibu bapa

Ammar adalah seorang anak yang sangat mentaati ibu bapa dan tidak pernah berkata tidak atau membantah arahannya. Apa sahaja yang disuruh Ammar akan buat tanpa banyak soal walaupun itu mungkin tidak mengikut naluri atau kehendak beliau.

2) Seorang yang merendah diri

Seorang yang sangat merendah diri dan tidak pernah cerita mengenai kejayaan atau kelebihan dirinya. Namun tanpa bercerita kebaikannya, rakan disekeliling beliau sentiasa berasa senang di sisinya.

3) Seorang pendiam

Ammar tidak banyak bercakap di sekolah. Azlina masih ingat ketika Ammar di sekolah rendah di mana rakan di dalam kelas mengerumuni beliau. Ini bermaksud tanpa perlu berbuat apa-apa, Ammar seolah mempunyai aura yang mampu menarik perhatian dan dengan senyumannya sudah menyenangkan hati mereka di seklilingnya.

4) Menjadi guru tuisyen kepada rakan

Ketika menjadi pelajar di Maktab Tentera Diraja, Ammar menjadi guru tuisyen sewaktu kelas malam kepada kawan-kawan tidak kira dalam subjek Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Kimia, Biologi dan sebagainya. Sungguh mulia hati beliau.

5) Rajin lakukan amalan sunat

Ketika belajar di Maktab Tentera Diraja, selepas habis prep pada waktu malam, Ammar tidak akan pulang ke asrama. Beliau akan singgah ke surau untuk melakukan solat sunat atau mengaji al-Quran. Ammar juga sentiasa amal puasa sunat Isnin dan Khamis ketika masih belajar.

6) Anak yang serba boleh

Ammar seorang yang serba boleh dalam semua perkara tidak kira akademik mahupun kokurikulum. Bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran malah aktif dalam sukan seperti taekwondo, berenang, sepak takraw dan sebagainya. Ammar juga pandai melukis dan mempunyai buku skrap dan buku kartun yang terdapat hasil karyanya serta mempunyai kebolehan bermain alat muzik. Ketika di Turki, Ammar turut mendalami kitab Risalah An-Nur.

7) Aktif dalam aktiviti kemanusiaan

Malah dari segi sahsiah, Ammar sering melibatkan diri dalam aktiviti kemanusiaan, membantu orang dan sebagainya. Jadi adik-adik bukan sahaja perlu cemerlang akademik malah harus
terlibat dalam aktiviti seperti sukarelawan untuk membentuk sahsiah diri.

Inilah amal Ammar semasa beliau masih hidup.

“Apa jua kebaikan yang ada pada Ammar, sekiranya anak muda ingin dicontohi mudah-mudahan anda juga akan mampu lebih berjaya dari arwah Ahmad Ammar Ahmad Azam,” katanya.