MUAR - Sebuah keluarga dari Taman Rambai, Kampung Parit Buaya di sini, memohon orang ramai untuk membantu mengesan salah seorang ahli keluarga mereka yang hilang sejak beberapa hari lalu.

Intan Nursyafinaz Roslan, 18, berkata, adik bongsunya, Intan Nursyahira berusia 13 tahun tidak pulang ke rumah selepas ke rumah rakannya, Jumaat lalu.

“Dia ada beritahu mahu ke rumah kawan sekolahnya yang terletak tidak jauh di kampung ini untuk buat kerja sekolah.

“Adik keluar masa ibu (Noraini Abd Rahman, 44) berada dalam bilik air sementara seorang lagi kakak kami di dalam bilik, manakala saya dan ayah (Roslan Atan, 52) keluar bekerja sejak pagi,” katanya ketika dihubungi.

Kehilangan Intan Nursyahira turut dimuat naik ahli keluarganya di Facebook.

Menurutnya, mereka sekeluarga dimaklumkan kehilangan adiknya itu selepas rakannya yang dikenal sebagai Iffah menghubungi ibu mereka bertanyakan mengenai Intan Nursyahira yang dikatakan tidak muncul di rumahnya di Kampung Parit Buaya seperti dijanjikan.

“Iffah telefon ibu bertanyakan mengenai Syahira menyebabkan ibu panik sebelum menghubungi kami semua.

“Dia keluar tanpa kami sedari, jadi kami tak tahu apa pakaian terakhirnya tapi dia bawa beg sandang, buku sekolah dan duitnya sekitar RM8 dengan menaiki motosikal SYM bernombor pendaftaran WTK 8874 berwarna hitam,” katanya.

Intan Nursyafinaz berkata, sebelum hilang, adiknya tidak berkelakuan aneh malah masih berbual seperti biasa dengan ibu mereka ter-masuk memberitahu ingin melakukan tugasan sekolahnya beberapa jam sebelum keluar rumah.

“Kami sudah berusaha sehabis daya termasuk meronda di sekitar taman, kampung sekitar mencarinya dan telahpun membuat laporan di Balai Polis Sungai Abong jam 1 pagi semalam (kelmarin),” katanya.

Menurut Intan Nursyafinaz, adiknya yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Abong berkulit cerah dan memiliki ketinggian kira-kira 150 sentimeter.

Sehubungan itu, dia memohon bantuan dan kerjasama orang ramai sekiranya menemui Intan Nursyahira supaya menghubungi mereka menerusi talian 0169088593 atau 0182134649.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Sarip ketika dihubungi berkata, pihaknya akan menyiasat kes tersebut.