SHAH ALAM - Belajar secara berkumpulan untuk faham mata pelajaran diajar guru nyata usaha tidak sia-sia buat Siti Athirah Salmin.

Calon SPM dari Kolej Islam Sultan Alam Shah (Kisas) itu bersyukur resipi tersebut membuahkan hasil apabila memperoleh keputusan cemerlang 11 A+.

“Belajar berkumpulan resipi terbaik untuk uji sejauh mana kefahaman kita. Selain itu kita kena betulkan niat menuntut ilmu bukan hanya untuk mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan tapi untuk membangunkan masyarakat.

“Saya gunakan masa ulang kaji sebaiknya dan amalkan bangun pagi untuk qiamullail,” katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman keputusan SPM peringkat negeri di Jabatan Pendidikan Selangor, semalam.

Siti Athirah ditemani bapanya juga Ketua Balai Polis Subang Jaya, Asisten Superintendan Salmin Jaafar.

Sementara itu, Salmin berkata, dia bersyukur usaha anaknya yang fokus dalam pelajaran berhasil dan berharap anaknya dapat melanjutkan pengajian dalam kursus kritikal termasuk perubatan.