BATU PAHAT - Umno Bahagian Parit Sulong meraikan murid cemerlang Sekolah Agama (SA) Permatang Rengas, Sri Medan.

Ketua Umno Bahagian Parit Sulong, Datuk Zulkurnain Kamisan berkata, SA Permatang Rengas antara sekolah agama dalam kawasan Parit Sulong dan Sri Medan di mana muridnya sentiasa cemerlang dalam pelajaran.

Katanya, sekurang-kurangnya 10 murid cemerlang dalam peperiksaan tahun enam dan juga darjah khas.

“Kita adakan program khas ini untuk meraikan murid cemerlang supaya beri semangat kepada pelajar lain serta dijadikan contoh.

“Kita harap keputusan cemerlang diperoleh menjadi trend dan ikutan bukan sahaja di sekolah ini, tetapi juga di sekolah agama lain,” katanya.

Tambah Zulkurnain lagi, pada masa sama dengan penganugerahan dan meraikan murid cemerlang juga mampu membentuk generasi yang sentiasa mahu berjaya dalam pelbagai bidang.

Katanya, bagi murid yang berjaya, pasti mereka ingin mendapat pengiktirafan dan diraikan bukan sahaja dalam pendidikan agama, tetapi juga dalam akademik.

“Kita harap dengan adanya program seperti ini mampu melahirkan lebih ramai lagi murid terbaik dalam pendidikan.

“Tidak ketinggalan juga ibu bapa yang menumpang rasa gembira dan berbangga dengan kejayaan yang diperoleh anak masing-masing,” katanya.

www.gpsbestari.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.