PUTRAJAYA - Peningkatan kualiti sekolah dan kemenjadian murid akan terus menjadi fokus dalam Gelombang Kedua (G2), Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Dr Amin Senin berkata, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) perlu bekerja bersama-sama untuk merealisasikan hasrat ini.

“Walau apa sekalipun, KPM, JPN dan PPD perlu memastikan kedua-dua perkara tersebut berlaku. Kesemua pihak mestilah sentiasa bersedia membantu agar segala yang dirancang berjalan dengan baik,” katanya.

Menurutnya lagi, penentuan kualiti sekolah perlu mempunyai satu sumber rujukan sahaja ('single point of reference') yang dijadikan standard tanpa mengira latar belakang sekolah.

“Ada instrumen yang akan dapat mengukur kualiti sekolah iaitu Standard Kualiti Pendidikan Malaysia gelombang 2 atau dikenal sebagai SKPMg2 yang dibangunkan oleh JNJK (Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti),” katanya.

Tambah beliau, pelaksanaan peningkatan kualiti sekolah perlu dilakukan secara holistik, termasuklah dengan mengambil kira komponen kemenjadian murid seperti yang terkandung dalam SKPMg2.

“Kita mesti ingat, apabila disebut sekolah berkualiti, ia mestilah jelas merujuk kepada kesemua 10,000 sekolah. Kita tidak mahu hanya sekolah tertentu sahaja yang dianggap berkualiti.

“Pendekatan holistik ini adalah satu satu cara untuk kita menghubungkan titik ('connecting the dots') pelbagai item di sekolah,” katanya.

Menurutnya, penekanan sepatutnya ditumpukan kepada membangunkan pengetahuan asas ataupun 'growth oriented development'.

“Masa yang paling strategik bagi tujuan ini adalah di sekolah rendah,” katanya.

Beliau berkata, bagi melakukan 'growth oriented development', pihaknya sedaya upaya menekankan kepada pembinaan kemahiran dan sahsiah murid serta tidak menjadikan peperiksaan sebagai 'high stake'.

“UPSR sepatutnya hanyalah 'check point' untuk menentukan setakat mana anak didik kita menguasai kemahiran pada tahap yang ditetapkan,” katanya.

Dr Amin berkata, 'growth oriented development' ini perlu dipastikan berlangsung sehingga tingkatan tiga sebelum pelajar disalurkan kepada aliran yang bersesuaian dengan kecenderungan mereka di tingkatan empat.

“Kita lihat kecenderungan mereka sama ada di aliran vokasional mahupun aliran akademik. Penjurusan tingkatan lima adalah akademik yang dinilai menerusi SPM.

“Dalam erti kata lain, peperiksaan SPM adalah hasil daripada aplikasi segala penguasaan kemahiran 'growth oriented development' terdahulu," katanya.

PPD perlu sokong, bimbing sekolah

Menyentuh mengenai pencapaian pelaksanaan PPPM, beliau berkata, setiap tahun KPM mengeluarkan laporan pencapaian dalam bentuk Laporan Tahunan sejak PPPM mula dilaksanakan pada 2013.

“Kita tidak pernah gagal mengeluarkan laporan ini setiap tahun untuk berkongsi pencapaian dengan orang awam”, katanya.

Menurutnya, laporan itu turut boleh dicapai orang awam menerusi laman web rasmi kementerian itu dan juga di laman web Padu iaitu Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan.

“Ia boleh dimuat turun oleh orang awam,” katanya.

Beliau berkata, perancangan Gelombang 2 adalah memacu peningkatan sistem secara keseluruhan.

“Ini termasuk sistem di peringkat kementerian, JPN dan PPD yang sebelum ini bersifat pentadbiran dan pengurusan.

“Bagi memastikan transformasi berlaku seperti yang dirancang, KPM telah memperkenalkan Program Transformasi Daerah (DTP) yang antara tunjang utamanya adalah pengupayaan kepimpinan di JPN dan PPD," katanya.

Program tersebut salah satu daripada inisiatif utama dalam PPPM dan disokong implementasi Padu.

Dr Amin berkata, apabila penstrukturan berlaku, PPD sepatutnya memberi fokus kepada sokongan profesional kepada sekolah dalam bentuk bimbingan dan pementoran.

“PPD perlu memberi sokongan kepada guru mengenai cara bagaimana untuk meningkatkan kualiti pengajaran, serta meningkatkan kemahiran pengetua dan guru besar dalam pengurusan sekolah dan murid,” katanya.

Tambahnya, penstrukturan semula yang akan berlaku adalah untuk membantu semua sekolah menjadi sekolah yang cemerlang.

“Cara kerja di peringkat PPD tidak lagi boleh seperti biasa ('business as usual'). Segala keputusan yang dibuat mestilah berdasarkan data yang jelas,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai inisiatif DTP, Dr Azwan Abd Aziz, Pengarah Eksekutif Sektor Pembelajaran Murid berkata, Program Transformasi Daerah (DTP) telah mula menampakkan perubahan ketara kerana PPD kini memainkan peranan lebih strategik bagi memacu peningkatan kecemerlangan sekolah.

Selain peranan dimainkan  kepimpinan di PPD sendiri, salah satu faktor kejayaan kritikal kepada transformasi daerah adalah sokongan bimbingan dan pementoran kepada guru melalui pegawai Pembimbing Pakar Peningkatan Sekolah (SISC+) dan membantu pemimpin sekolah melalui Rakan Peningkatan Sekolah (SIPartners+).

JPN dan PPD kini lebih berupaya untuk memberi sokongan terus dalam bentuk intervensi bersasaran, bimbingan dan pementoran kepada pemimpin sekolah serta lebih proaktif menguruskan prestasi sekolah bagi memastikan peningkatan keberhasilan murid.

INFO GELOMBANG 2 PPPM (2016-2020)

1. Melaksanakan KSSR semakan semula dan KSSM.

2. Menarik minat dan kesedaran masyarakat kepada bidang Stem.

3. Merintis pilihan program untuk meningkatkan pendedahan kepada bahasa Inggeris dan mengukuhkan penyediaan kepada bahasa tambahan.

4. Memperkukuhkan program untuk kumpulan berkeperluan khusus seperti Orang Asli, Pribumi, murid pintar cerdas dan murid berkeperluan khas.

5. Meningkatkan bimbingan dan sokongan kepada guru bagi meningkatkan penyampaian pengetahuan, kemahiran dan nilai.

6. Meningkatkan kompetensi dam kemajuan berdasarkan prestasi.

7. Memperkukuhkan bahagian utama kementerian dan menyusun semula peranan kementerian, JPN dan PPD.

8. Memperoleh akredistasi antarabangsa dan memantapkan kurikulum matrikulasi.

9. Memperluas pilihan pendidikan vokasional melalui perjanjian pelaksanaan.

10. Memartabatkan Pendidikan Bahasa Melayu.