PUTRAJAYA - Pemberian kenaikan gaji tahunan (KGT) kepada 1.6 juta penjawat awam termasuk guru yang dijanjikan kerajaan BN akan diputuskan kemudian.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, KGT diumumkan kerajaan BN tetapi sekarang pelaksanaan perlu bersandarkan kepada manifesto kerajaan semasa jadi, perkara ini akan diputuskan kemudian.

“KGT itu adalah janji mereka (BN) jadi perkara itu, kita serahkan kepada kerajaan.

“Kabinet akan mula bermesyuarat esok, kita tunggu. KGT itu datang sebagai janji, kita ikut manifesto kerajaan kita sekarang jadi ia akan diputuskan kelak,” katanya ketika ditemui media di luar pekarangan Yayasan Kepimpinan Perdana selepas sejam bertemu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, di sini, hari ini.

Terdahulu, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada April lalu, mengumumkan ‘buah tangan teristimewa’ bakal diterima penjawat awam adalah pemberian kenaikan gaji tahunan (KGT) kepada semua 1.6 juta penjawat awam, berkuat kuasa 1 Julai 2018.

Najib berkata, pemberian kenaikan bersamaan satu KGT itu membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM1.46 bilion.

Dalam perkembangan lain, turut hadir menemui Mahathir hari ini ialah bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan bekas pegawai PetroSaudi International Ltd, Xavier Andre Justo.