Cadangan penutupan Tahfiz Al Quran Al Barakah iaitu satu daripada tiga unit yang beroperasi di bawah pengurusan Pusat Pendidikan Al Barakah di Manjoi, Perak, telah membuka mata orang ramai bahawa perlunya sokongan padu pelbagai pihak bagi membantu kelangsungan pengoperasiannya.

Meskipun pusat tahfiz yang sudah beroperasi selama lapan tahun ini beberapa kali menerima pengiktirafan hasil sistem pembelajaran moden, namun ia tidak lari daripada berdepan masalah kos dan pembiayaan.

Buktinya, Jun lalu, satu iklan mengenai penjualan Unit Tahfiz Al Quran Al Barakah dibuat di laman mudah.com pada harga RM5 juta selepas pengurusannya berdepan masalah kekurangan wang.

Bersama Pengetua Pusat Pendidikan Al Barakah yang juga penceramah bebas terkemuka, Datuk Mohd Kazim Elias mengenai masa depan pusat tahfiz berkenaan dan penjelasan beliau di sebalik hasratnya menutup maahad tersebut.

TIDAK hanya Al Barakah, semua pusat tahfiz di negara ini memang memerlukan sokongan dan bantuan dana untuk beroperasi.

Saya beri penekanan ini kerana, saya sendiri sudahpun melaluinya, walaupun kebanyakan pusat tahfiz mampu bergerak secara sendiri dan menanggung pembiayaan melalui pelbagai usaha, namun bantuan kewangan masih diperlukan.

Jika dengan adanya bantuan dana dapat menampung pembiayaan elaun dan gaji guru serta kebajikan pelajar, bukankah usaha memperkasakan pusat tahfiz dapat dilakukan, itu lebih baik berbanding saranan untuk menutup.

Pusat Pendidikan Al Barakah beroperasi sejak 2006 ini terbahagi kepada tiga unit iaitu pondok pengajian dewasa, Unit Tahfiz Al Quran Al Barakah serta Tadika Nurul Barakah.

Selaras dengan perkembangan pusat pendidikan ini, pada 2010, saya bersama barisan jawatankuasa telah buka satu unit tahfiz diuruskan sepenuhnya oleh Pusat Pendidikan Al Barakah.

Hampir lapan tahun beroperasi, pelajarnya macam biasalah ada pasang surut dan alhamdulillah, pernah capai hampir 200 orang, sehingga kini terdapat 100 pelajar tahfiz di pusat ini termasuk 25 wanita, semuanya tinggal di dua blok asrama yang kita sediakan.

Pelajar ini datang daripada pelbagai latar belakang, ada yang keciciran dari segi pendidikan, berdepan masalah keluarga dan kemiskinan, serta anak yatim, mereka inilah yang diletakkan di sini.

Walaupun ada yuran dikenakan, namun tidak semua mampu membayarnya menyebabkan kita ambil keputusan untuk membiayai mereka sepenuhnya.

Nilai semula kedudukan unit tahfiz

Ada yang keliru dan beranggapan saya akan menutup pusat pendidikan ini secara keseluruhannya, tidak bukan begitu.

Apa yang kita putuskan adalah untuk menilai semula kedudukan Unit Tahfiz Al-Quran Al Barakah sebagai satu perancangan tahun depan.

Selama ini, kita jalankan operasi unit tahfiz daripada sumbangan orang ramai, ceramah, kuliah dan jualan produk yang dikeluarkan beberapa syarikat termasuklah penerbitan buku, inilah yang menampung kos keseluruhan sekolah.

Unit tahfiz ini tidak ditaja mana-mana individu, parti politik atau dibantu mana-mana yayasan pun, segalanya diuruskan sendiri sehinggalah kini.

Alhamdulillah, dalam tempoh ini, saya dan ahli jawatankuasa menggerakkan pusat tahfiz ini hingga mencapai beberapa kejayaan antaranya merangkul johan hafazan peringkat kebangsaan.

Kita juga telah berjaya mengeluarkan empat edisi pelajar lepasan 30 juzuk, kebanyakan mereka sambung pengajian di peringkat universiti, walaupun sebahagian tidak sambung dalam bidang agama, sekurang-kurangnya sudah ada 30 juzuk di dada.

Semua ini didokong sistem pendidikan yang kita perkenalkan, berbeza dengan maahad sedia ada.

Di sini pelajarnya seusia 5 ke 6 tahun sudah diajar berbahasa Mandarin, mereka juga punya latihan kuda dan berenang.

Keselesaan begini, saya akui perlukan kos sangat tinggi, dalam sebulan perbelanjaan diperlukan mencecah RM150,000, ini termasuklah bayar gaji 25 guru dan staf sokongan, makan minum pelajar serta bil utiliti.

Selama tempoh ini, saya dan pihak pengurusan masih mampu cari jalan untuk pembiayaan tanpa perlu meminta mana-mana pihak, sehingga timbul suasana yang saya kira tidak begitu menyenangkan.

Pelajar tahfiz menjalankan proses pembelajaran seperti biasa ketika tinjauan di Unit Tahfiz Al-Quran Al Barakah di Pusat Pendidikan Al Barakah di Manjoi.

Banyak ceramah dibatalkan

Antaranya, ada usaha menyekat perjalanan ceramah dan kuliah, saya lihat ini sesuatu yang mengecewakan.

Ceramah saya berkali-kali dibatalkan di saat akhir, ada yang dah sampai di ruang menunggu, bila sampai masa saya nak ceramah, dimaklumkan tidak dibenarkan.

Bukan satu dua ceramah dibatalkan, banyak, kadang-kadang saya dah sampai 'highway', tiba-tiba maklum batal, dah 'confirm' jam 9 pagi, jam 12 telefon kata batal, jadi apa sebenarnya yang nak dilakukan dengan dakwah ini.

Bila ditanya siapa beri arahan, tiada jawapan diperoleh.

Saya tidak mengatakan mana-mana pihak, kerana ia dilakukan sendiri oleh penganjur, namun ada kebimbangan terlahir daripada keadaan itu.

Jika ia berterusan, saya khuatir unit tahfiz akan hadapi masalah dari sudut pembiayaannya, kerana itu saya bersama jawatankuasa ambil keputusan keluarkan iklan dengan harapan ada pihak berminat ambil alih teruskan pengurusan pengajian di maahad ini.

Unit tahfiz ini jiwa saya, keputusan dibuat itu kerana saya rasa dah tak mampu menanggungnya, apatah lagi memikirkan keadaan kesihatan dan kekangan berdakwah yang dihadapi, semua ini membuatkan saya 'down', perasaan saya juga tidak seceria dulu.

Sebenarnya sebelum mengiklankan penjualan tahfiz ini, saya telahpun bertemu tiga pengusaha maahad tahfiz dengan harapan pusat ini dapat diambil alih tanpa perlu ditutup, namun mereka tiada kemampuan dan menolak tawaran itu.

Penjualan aset ini dilakukan dengan harapan kita dapat berdaya tahan untuk pengoperasian unit yang lain.

Tambahan pula, wang diperoleh itu (jika ada pihak nak membeli) boleh digunakan untuk menjelaskan hutang, lebihannya dapatlah digunakan untuk perancangan lain seperti penubuhan Akademi Daie yang tidak perlukan kos pembiayaan tinggi.

Tunggu hasil perbincangan

Saya tak sangka iklan penjualan itu akan tular seperti ini dan kerana itu juga ada beberapa agensi, yayasan, badan korporat termasuk kerajaan negeri hubungi saya dengan hasrat untuk membantu.

Jadi buat masa sekarang kita ambil keputusan tangguh dulu hasrat penjualan itu.

Sekiranya selepas empat lima bulan ini, perjalanan ceramah saya kembali seperti sebelumnya, maka saya kira tidak ada apa akan berlaku kepada pusat pendidikan ini kerana ia boleh dibiayai melalui pendapatan diperoleh.

Ada yang mengatakan tindakan saya ini sebagai satu lakonan minta simpati, tidak sesekali.

Apabila jadual ceramah saya tidak ada, sepatutnya saya lebih gembira kerana punya masa untuk keluarga dan diri sendiri, tetapi tidak begitu.

Saya memikirkan tanpa ceramah, dimana nak tampung pembiayaan sekolah ini, apakah pembelajaran tahfiz akan terhenti begitu sahaja.

Saya bersyukur dengan pendirian kerajaan negeri yang sama sekali tidak menghalang usaha dakwah saya, malah sedia membantu Al Barakah, alhamdulillah, itu yang kami nantikan.