Hari raya menjadi saat istimewa apabila diraikan diraikan bersama mereka tersayang.

Namun dek terdapat kekangan kerja atau belajar di perantauan maka ada dalam kalangan kita yang tidak dapat merayakan bersama keluarga.

Pegawai Psikologi, Bahagian Kaunseling, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Rafidah Sadarudin berkata, tuntutan tugas kalangan guru di perantauan seperti Sabah dan Serawak, menyebabkan mereka tidak dapat pulang di kampung tahun ini.

Menurutnya, antara faktor adalah mengikuti suami yang bertugas pada hari raya.

Ini menyebabkan hari raya tidak dapat disambut bersama keluarga di kampung.

Pengorbanan mereka ini besar maknanya dan dipandang tinggi oleh masyarakat.

"Dari sudut emosi, pasti perasaan sedih akan terasa tatkala mendengar takbir raya pada pagi Syawal dan sunyi tanpa kemeriahan suasana di kampung," katanya.

Tambah beliau, kekangan masa (cuti pendek) dan kekangan kewangan antara faktor penyebab juga merupakan faktor tidak dapat balik beraya bagi mereka yang bujang mahupun sudah bekeluarga.

"Bagi keluarga besar, perlu merancang lebih awal dari segi kewangan untuk balik kampung.

"Pengalaman seorang guru yang mempunyai tiga anak dalam lingkungan usia 1 hingga 7 tahun telah membelanjakan sebanyak RM1,00O untuk kos tiket pergi balik sahaja belum termasuk kos lain," katanya.

Kata beliau,  mereka mengambil keputusan pulang berjumpa keluarga apabila cuti sekolah yang panjang kelak.

Beliau menyatakan cuti raya yang pendek juga faktor untuk berkira-kira sama ada berbaloikah kos akan dilaburkan untuk pulang beraya di kampung.

"Terdapat juga golongan pelajar sekolah tak dapat balik beraya kerana masuk sekolah asrama di seberang laut, sebagai contoh pelajar tahfiz.

"Mereka juga kesedihan apabila tak dapat pulang beraya bersama keluarga," katanya.

Kata Rafidah, beliau yakin dan percaya kawan-kawan sama pengajianlah yang menjadi keluarga mereka.

Justeru nasihat beliau, gunakanlah masa dan momen yang ada untuk bahagia membahagiakan antara satu sama lain.

Hidup berdikari

Menurut Faridah, di zaman teknologi kini, kita mampu berhubung dengan ahli keluarga menggunakan aplikasi Skype, WhatApps, Facebook live, Wechat, Twitter.

Maka gunakanlah teknologi ini sepenuhnya untuk mengeratkan silaturahim bersama keluarga, saudara mara dan sahabat andai yang jauh di mata tetapi dekat di hati.

Dalam kesedihan dialami terdapat juga keterujaan dilalui iaitu cabaran untuk mereka berdikari dan merasai ruang serta peluang beraya di perantauan tanpa keluarga.

Masa inilah hubungan semakin erat bila mana mereka menghubungi emak dan bertanya resipi masakan yang sering dihidang di pagi raya untuk cuba dimasak bersama rakan dan untuk jamuan bersama kelak.

"Ada juga guru atau pelajar mengambil kesempatan cuti hari raya untuk pergi bercuti di luar negara. Mengapa tidak? Memandangkan cuti yang ada boleh dimanfaatkan, ia adalah ruang dan peluang untuk mereka mengisi masa yang ada bagi bahagia membahagiakan diri.

"Ia bukanlah alasan tak balik beraya di kampung, kita tidak ke mana-mana. Jika ada kewangan, masa dan faktor lain yang menyokong untuk bercuti, teruskan," katanya.

Faridah turut memberikan tip pada guru dan pelajar yang tak dapat pulang berhari raya bersama keluarga.

Mereka boleh lebih kerap berhubung dengan ahli keluarga melalui kemudahan teknologi dinyatakan bagi sama-sama berkongsi perasaan dan mengeratkan silaturahim.

"Ada hikmah atas setiap perkara dan perlu memandang dari sudut positif dan bermanfaat untuk diri dan keluarga.

"Di mana jua anda berada, hargai dan gunakan momen anda sepenuhnya untuk membuatkan raya kali ini bermakna," katanya.

Katanya, kalau anak-anak tidak dapat balik, jika ahli keluarga ada peruntukan apa salahnya kita pula pergi ke tempat mereka, mengapa tidak?

"Kalau dapat dikirimkan makanan kegemaran (jika boleh dan tahan, tidak rosak) untuk anak-anak, lakukanlah. Sekurang-kurangnya dapatlah mereka merasai bersama air tangan ibu tersayang.

"Buat semua saudara seIslam saya walau di mana jua berada, sama-samalah kita memaknakan hari raya tahun ini dengan melaksanakan semua perkara yang ALLAH suka dan nabi sayang. maaf zahir batin," katanya.