Calon SPM ditahan bersama rakan ketika lalok, didapati positif methamphetamine

SERI ISKANDAR - Seorang pelajar yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dipercayai mengambil dadah bagi menghilangkan tekanan untuk menghadapi peperiksaan besar berkenaan.

Perkara itu terbongkar apabila dia ditahan dalam satu serbuan di tepi sebuah rumah di Jalan Sungai Jejawi, Kampung Sungai Jejawi awal pagi kelmarin.

Serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah itu sempena Ops Tapis yang diadakan sekitar kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, dalam serbuan kira-kira jam 1.15 pagi itu juga, seorang lagi rakan suspek baru berusia 16 tahun turut ditahan.

“Ketika serbuan, kedua-dua suspek dipercayai penagih dadah berada di tepi sebuah rumah mungkin sedang lalok segera ditahan pihak polis,” katanya.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas tubuh kedua-dua suspek tidak menemui barangan yang menyalahi undang-undang, namun ujian saringan air kencing didapati positif methamphetamine.

“Kedua-dua suspek dibawa ke IPD Seri Iskandar untuk siasatan lanjut dan mereka disiasat di bawah Sesyen 15(1) akta dadah berbahaya 1952,” katanya.

Mohamad Zainal berkata, di dalam serbuan sama, seorang lagi pelajar sekolah berusia 16 tahun turut ditahan kira-kira jam 1.10 pagi kelmarin.

“Suspek ini juga ditahan di lokasi sama namun dia cuba melarikan diri apabila menyedari kehadiran polis.

“Berlaku sedikit pergelutan tetapi pihak polis berjaya menahan suspek dan turut menjumpai satu paket plastik berisi hablur kristal disyaki dadah jenis methamphetamine di dalam poket seluarnya,” katanya.

Katanya, ujian saringan air kencing ke atas suspek juga didapati positif dadah jenis methamphetamine.

“Suspek tiada rekod lampau dan disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Pihak polis akan meneruskan operasi membanteras penagihan dadah ini dan orang ramai diminta terus menyalurkan maklumat kepada pihak kami agar tindakan segera dapat diambil,” katanya.