KUANTAN - Gembira dan bersyukur, itulah perasaan bapa kandung murid lelaki tahun empat 10 tahun yang diikat pada tong gas, selepas mendapat hak penjagaan sementara.

Bagaimanapun, lelaki itu yang enggan identitinya dikenali berharap mendapat hak penjagaan tetap selepas melihat sendiri keadaan anaknya itu, yang ditemui polis dalam keadaan memilukan.

“Alhamdulillah. Saya sedia menjaga kembali anak-anak kerana sebelum dijaga bekas isteri, mereka tinggal bersama saya di Melaka.

“Hari ini (semalam) saya akan bawa pulang anak ke Melaka dan dua lagi abangnya menyusul selepas selesai peperiksaan nanti.

“Sebelum ini, anak kedua berusia 13 tahun dijaga ibu kandungnya, manakala anak sulung berusia 16 tahun dan bongsu 10 tahun tinggal dengan saya,” kata bapa berusia 36 tahun itu.

Menurutnya, jika keputusan hak penjagaan tetap nanti berpihak kepadanya, dia tidak mempunyai sebarang masalah untuk menjaga anak-anaknya itu.

“Bagaimanapun, saya akan beri peluang kepada anak-anak buat pilihan, sama ada nak tinggal dengan saya atau ibu mereka," katanya.

Sementara itu katanya, tiga tahun lalu ketika anak-anaknya dalam jagaannya, bekas isteri mengambil anak sulung dan ketiga di asrama, tanpa pengetahuannya.

“Anak-anak pernah hubungi dan beritahu mereka dipukul, tapi bila tanya bekas isteri, dia dakwa mereka nakal,” katanya yang bekerja sebagai penyelia di sebuah pusat cuci kereta di Melaka Tengah.

Hasrat murid tahun empat tercapai

Hasrat murid lelaki tahun empat yang ditemui berbogel dan dirantai pada tong gas, 5 Oktober lalu, untuk bersama bapa kandungnya tercapai, selepas Mahkamah Bagi Kanak-kanak, di sini, memutuskan hak jagaan sementara selama sebulan diberikan kepada bapa kandung dan ibu tirinya.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman, manakala kebenaran hak jagaan dibuat Pelindung Kanak-kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah, Zalina Yusoff yang berkuat kuasa, semalam.

Penolong Pengarah Bahagian Kanak-kanak Negeri, Azmi Ibrahim berkata, penyerahan jagaan sementara kanak-kanak terbabit kepada bapa kandung dan ibu tirinya yang tinggal di Melaka Tengah itu dibuat setelah mahkamah melihat kemampuan mereka.

“Dalam tempoh tersebut, JKM akan melengkapkan laporan secara menyeluruh berkaitan keluarga terutama membabitkan mangsa, untuk menentukan hak penjagaan tetap.

“Keutamaan adalah terhadap mangsa, namun kita turut sama melihat adik-beradiknya yang lain kerana bapa kandung turut menyatakan persetujuan menjaga semua anaknya,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, ibu kandung mangsa tidak memberikan sebarang bantahan terhadap penjagaan sementara itu.

“JKM telah memberikan penerangan kepadanya dan ibu kandung kanak-kanak tersebut akur. Tiada bantahan walaupun ada menunjukkan minat menjaga kembali anaknya, tetapi terpaksa menunggu sehingga siasatan suaminya selesai.

“Bagaimanapun, selepas siasatan selesai dalam tempoh sebulan ini, wanita tersebut akan diberi peluang membuat rayuan berkaitan hak penjagaan kekal,” katanya. \Sementara itu, Zalina berkata, sejurus perintah tersebut dikeluarkan, kanak-kanak terbabit memberikan reaksi gembira dan ceria.

“Dia memang dah lama tidak bertemu bapa kandungnya, jadi dalam tempoh sebulan ini hasrat untuk bersama ayahnya tertunai,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri, dengan lehernya dirantai pada tong gas di sebuah rumah di Indera Mahkota.

Perbuatan itu dipercayai dilakukan bapa tiri mangsa, yang dikatakan tidak tahan dengan kedegilan anaknya dan mendakwa tidak mahu ke sekolah.

Bapa tiri mangsa yang bertugas di Kem Batu 10, Jalan Gambang, ditahan reman bermula Jumaat lalu sehingga hari ini, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-kanak (Pindaan) 2016.