KUANTAN - Abang kepada murid tahun empat yang ditemui dirantai pada tong gas, minggu lalu, nekad untuk membela nasib adik-beradiknya.

Ini berikutan pertemuan antara bapa kandung dan adiknya di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) sini, kelmarin selepas insiden menyayat hati yang menimpa adiknya.

Pelajar berusia 16 tahun itu berkata, pertemuan tersebut memberi kelegaan selain membuatkan dirinya kembali bersemangat.

“Bila dapat tahu ayah dah jumpa adik, saya pun rasa bersemangat nak jumpa. Saya akan cerita dengan dia apa yang terjadi.

“Dalam masa yang sama, sebagai abang sulung saya nak bela nasib adik-adik. Sebenarnya saya pun teruja nak jumpa ayah, rasa rindu dah lama tak jumpa. Kalau boleh nak peluk tapi tak sempat sebab dia balik awal,” katanya di sini, semalam.

Dalam pada itu, dia gembira kerana hasrat bapanya untuk mengambil dia dan dua lagi adiknya tinggal bersama di Melaka.

“Bila dapat tahu hal tu, saya memang gembira sangat. Memang baguslah adik-adik duduk sana.

“Tinggal Melaka banyak beza, layanan pun macam lain. Kalau boleh memang nak mereka ke sana dulu, nanti saya pun menyusul," katanya.

Sebelum ini, negara digemparkan dengan penemuan mangsa yang diikat pada tong gas dalam keadaan berbogel serta tidak sedarkan diri di kediamannya yang terletak di Indera Mahkota.

Mangsa dikatakan diperlakukan sedemikian kerana ponteng sekolah dan bapa tiri mangsa yang juga seorang anggota tentera bertindak sedemikian kerana tidak tahan dengan kedegilan kanak-kanak terbabit.

Ini menyebabkan suspek dan ibu mangsa yang berusia 37 tahun ditahan dan direman sejak Jumaat lalu.

Setakat ini, mangsa sedang menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan dilaporkan dalam keadaan stabil serta tidak mengalami kecederaan serius.

JKM siasat keadaan adik-beradik mangsa

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang akan menyiasat keadaan tiga adik-beradik kepada kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun itu sama ada menerima nasib yang sama atau tidak.

Pengarahnya, Zulkhairi Zainol Abidin berkata, siasatan terperinci akan dijalankan pegawai JKM negeri, termasuk menemu bual ibu kandung mereka dan jiran bagi mendapatkan gambaran mengenai keadaan mereka yang berusia enam hingga 16 tahun itu.

“Buat masa ini kami (JKM) belum mendapat peluang temu bual ibu kandung mereka kerana dia berada dalam keadaan trauma,” katanya ketika dihubungi di sini.

Dalam pada itu, Zulkhairi turut memaklumkan permintaan bapa kandung mangsa yang mahu mengambil dan menjaga anak lelakinya itu, namun ia perlu diputuskan mahkamah.

“Memandangkan ia sudah menjadi kes polis, bapa mangsa tidak boleh mengambilnya begitu saja, tapi kita ambil maklum atas permintaannya. Kita juga akan melakukan siasatan termasuk melihat aspek kewangan dan kestabilan kehidupan bapanya itu,” katanya.

Jelasnya, kanak-kanak terbabit akan ditempatkan di rumah perlindungan disediakan JKM sebaik selesai menjalani rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Sementara itu, tahanan reman suspek berusia 32 tahun membabitkan kes merantai leher anak tiri lelakinya pada sebuah tong gas Khamis lalu disambung bermula hari ini sehingga 12 Oktober ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Negeri, Senior Asisten Komisioner Othman Nanyan berkata, ibu kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun itu telah dibebaskan dengan jaminan polis pada hari dia ditahan selepas selesai mendapat keterangan daripadanya.

“Tambahan lagi, ibu kanak-kanak itu sedang mengandung dan mempunyai anak kecil berusia dua tahun serta melakukan perbuatan itu adalah bapa tiri kanak-kanak berkenaan bukannya ibunya,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.