TAMPIN –  Akibat tertekan dengan kehidupannya sejak tujuh tahun lalu, seorang pelajar lelaki tingkatan lima sebuah sekolah menengah di sini sempat membuat panggilan kepada wardennya, sebelum terjun dari tingkap bilik di tingkat dua bangunan asrama, awal pagi semalam.

Sumber berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2.40 pagi itu, mangsa meminta warden berusia lingkungan 30-an yang juga guru bahasa Inggeris menyampaikan pesanan kepada rakan-rakannya, menyatakan dia sangat menyayangi mereka namun kini sedang 'marah' dengan kehidupan sendiri.

Menurut sumber, warden itu segera bertanyakan di mana mangsa berada dan mengapa menyatakan demikian, namun mangsa hanya membalas tell them I love them... bye disusuli dengan bunyi kuat.

“Warden segera hubungi rakan mangsa dan minta untuk cari mangsa. Rakannya menemui mangsa terbaring di atas bumbung ampaian asrama lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri. Susulan kejadian itu, pihak asrama menghubungi talian 999 bagi bantuan lanjut.

“Pasukan bomba tiba di lokasi dan berjaya membawa turun mangsa dari bumbung. Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Klinik Kesihatan Gemas oleh jentera Pasukan Perubatan dan Tindakan

Balas Perkhidmatan (EMRS), sebelum dirujuk ke Hospital Segamat,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Sumber berkata, mangsa kini berada dalam keadaan stabil.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Hamazah Ab Razak mengesahkan kejadian berkenaan dan menyatakan kes disiasat di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh diri.

Menurutnya, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut daripada pelbagai sudut berhubung insiden itu dan meminta masyarakat tidak membuat kesimpulan tidak berasas mengenai insiden tersebut.

“Saya harap kisah ini tidak akan disensasikan atau ditularkan," katanya.

Susulan insiden berkenaan, sepasukan anggota bomba diketuai Pegawai Bomba Danapala dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan pada jam 3.23 pagi.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gemas, Syed Ammar Syed Abbas, sebaik tiba di lokasi pada 3.48 pagi, mangsa masih berada di atas bumbung.

“Mangsa berjaya dibawa turun bomba tidak mengalami sebarang kecederaan, namun dikejarkan ke klinik kesihatan bagi pemeriksaan lanjut,” katanya.

Keadaan mangsa setelah diturunkan dari bumbung.