SHAH ALAM - Kerajaan negeri akan memperluaskan Seminar Literasi Media sebagai pendedahan kepada ibu bapa tentang kesan media dan internet terhadap kanak-kanak.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, ini berikutan terdapat desakan supaya ibu bapa perlu serius melindungi anak-anak daripada ketagihan teknologi.

“Ia sebagai pendedahan kepada ibu bapa muda khususnya yang memiliki anak-anak kecil dan sering terdedah kepada gajet.

“Kita tak mahu kecerdikan tersebut melampaui batas hingga memudaratkan. Banyak unsur-unsur negatif diperoleh anak-anak lebih cepat berbanding ibu bapa sendiri,” katanya selepas merasmikan seminar tersebut, di sini, semalam.

Menurutnya, jika tiada pemantauan berterusan ibu bapa, ia mampu membuka ruang kepada gejala sosial yang melibatkan kanak-kanak.

“Kanak-kanak akan terdedah kepada unsur-unsur negatif seperti keganasan, pornografi, hiburan melampau serta membuka ruang kepada aktiviti gejala sosial jika tiada pemantauan.

“Tidak kurang juga kesannya terhadap pencapaian akademik. Inilah yang perlu kita kawal iaitu kandungan yang mereka peroleh melalui gajet,” katanya.

Sementara itu, bekas Ketua Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan, Raymund N C Jagan berkata, institusi berkaitan  sedia ada perlu diperkasakan sebagai nilai tambah terhadap usaha tersebut.

“Contohnya, pusat khidmat kaunseling dan sebagainya, perlu diperkasakan. Jika sebelum ini, isu begini tidak diketengahkan, sudah sampai masa mantapkan saluran sedia ada, tak perlu wujudkan yang baru,” katanya.

Tegasnya, punca utama bukanlah gajet dan teknologi semata-mata tetapi peranan ibu bapa lebih menjadi keutamaan.

“Ada penjaga gunakan gajet dan permainan video sebagai ‘babysitter’ dan kita boleh lihat masalah ini di mana-mana.

“Benar gajet dan teknologi boleh memudaratkan, tapi ia sangat berkait rapat dengan cara didikan ibu bapa. Lebih teruk, jika ibu bapa sendiri yang ketagihan teknologi,” katanya.