Lebih 20 pengetua dari sekolah menengah dalam daerah Kuala Muda dan Yan hadir ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Badong bagi meraikan pertukaran Pengetuanya, Malek Abu Hassan ke Sekolah Menengah Sains Pokok Sena (Saina), baru-baru ini.

Malek yang mula bertugas di SMK Seri Badong mulai Jun 2015 berjaya mengangkat martabat dan nama baik sekolah itu hingga ke persada antarabangsa.

Selama dua tahun tujuh bulan berada di situ, SMK Seri Badong sudah terkenal seluruh negara termasuk menjadi bualan di negara jiran, Thailand.

Selaku peneraju sekolah transformasi yang berjaya menggondol johan kebangsaan pada 2016, Malek berjaya mengubah landskap sekolah dengan mencorakkannya menjadi sekolah transformasi yang melaksanakan program Pendidikan Abad ke- 21 (PAK21).

Beliau berjaya menarik minat dan semangat anak-anak kampung sekitar untuk hadir ke sekolah untuk belajar seterusnya mencipta kejayaan cemerlang dalam bidang kurikulum, kokurikulum dan sukan.

Bersama Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Muda Yan, Mahadir Ismail (empat, kiri).

Ketika ditemui, Malek melahirkan rasa syukur kerana hasratnya untuk berbakti kepada anak-anak bangsa di luar bandar menjadi kenyataan.

“Saya tidak pernah anggap dan bezakan pelajar dan sekolah.

“Bagi saya semua anak-anak yang ada di Malaysia mempunyai potensi dan kelebihan masing-masing dan terpulanglah kepada kita cara dan bagaimana untuk mencorakkannya.

“Saya melihat pelajar luar bandar mempunyai potensi dan semangat yang teringin untuk belajar.

“Oleh itu persekitaran belajar amat penting, pengajaran dan pembelajaran di sekolah perlu ditransformasikan agar ia lebih seronok dan menarik sekali gus menjadikan minat untuk belajar makin meningkat,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Pengetua Sekolah Menengah (MPSM) Kuala Muda dan Yan, Idris Osman menganggap pertukaran Malek merupakan satu kehilangan besar kepada daerah ini.

Menurut Idris, Malek juga adalah pemimpin yang mencipta dan mempelopori 'Edu Tour' yang mempromosi kelebihan dan kekuatan yang ada di setiap sekolah dalam daerah Kuala Muda dan Yan.

Malek bergambar kenangan bersama rakan pengetua yang menghadiahkan cenderahati kenang-kenangan.

 

Hadir sama, Pegawai Pendidikan daerah Kuala Muda Yan, Mahadir Ismail.

Difahamkan, SMK Seri Badong telah beberapa kali dipanggil untuk memberi taklimat dan berkongsi kejayaan hasil pelaksanaan PAK 21 antaranya membentangkan kertas kerja Amalan Terbaik Sekolah di Institut Aminudin Baki Genting Highlands, Majlis Deklarasi ‘Centre of Coperative Learning’ di Malaysia dan berfungsi sebagai Pusat PAK21 di utara Semenanjung.

Susulan kejayaan tersebut, sekolah itu telah dilawati oleh 113 sekolah seluruh negara sejak dinobatkan sebagai sekolah transformasi untuk melihat sendiri dan berkongsi idea selain mendapat bimbingan dan khidmat nasihat.

Sepanjang tahun lalu, SMK Seri Badong berjaya mewakili Kedah ke pertandingan robotik peringkat kebangsaan, naib johan pertandingan rekacipta negeri Kedah dan naib johan hoki peringkat negeri.

Kejayaan pelaksanaan sekolah transformasi juga turut menjadikan sekolah berkenaan terkenal ke peringkat antarabangsa sehingga berjaya melakukan jaringan kerjasama dengan beberapa sekolah di Thailand antaranya Kloghin Wittaya School, Samakkhi Wittayakhom School Chiang Mai dan Prince Mother Schools Phayao Bangkok.