JOHOR BAHRU - Jika tidak kerana tindakan pantas pihak sekolah sudah tentu tindakan ibu yang melacurkan dua anak gadisnya tidak akan terbongkar lagi.

Sebelum ini, pihak sekolah remaja terbabit yang merupakan pelajar tingkatan satu itu menerima mesej menerusi WhatsApp menyatakan mangsa dijual ibunya kepada lelaki warga asing.

Disebabkan mangsa tidak hadir ke sekolah selama 18 hari, pihak sekolah memaklumkan kepada polis.

Polis kemudian menahan tertuduh di sebuah rumah di Taman Bintang, Senai pada 25 Oktober lali, selepas wanita itu memberitahu, pernah beberapa kali membawa dua anak perempuannya ke hotel bajet untuk dilacurkan dua lelaki Bangladesh.

Perbuatan itu, membolehkan tertuduh menerima bayaran RM50 bagi setiap anak, manakala mangsa akan menerima bayaran RM1, RM5, RM10 dan RM20.

Polis sudah kenal pasti lokasi persembunyian tiga suspek warganegara Bangladesh berusia 30-an itu termasuk teman lelaki wanita berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Razak Md Said berkata, perkara itu dimaklumkan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor untuk diambil tindakan.

Seorang ibu tunggal berusia 39 tahun dijatuhi dipenjara 75 tahun oleh Mahkamah Sesyen semalam, selepas mengaku bersalah terhadap 10 pertuduhan.

Semalam, ibu dua pelajar malang itu dihukum penjara 75 tahun oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru di sini.

Hakim Kamarudin Kamsun menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh yang berusia 39 tahun mengaku bersalah terhadap 10 pertuduhan perbuatan itu.

Berdasarkan lima pertuduhan, wanita berkenaan yang mempunyai pemeliharaan dan hubungan amanah sebagai ibu kandung kepada seorang remaja perempuan 13 tahun, didakwa menganiaya dari segi seks dengan cara melacurkan mangsa.

Lagi lima pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan sama ke atas seorang lagi anaknya iaitu kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun.

Semua perbuatan itu dilakukan antara jam 9.25 pagi 1 Oktober lalu hingga jam 12.21 tengah hari 7 Oktober lalu, di hotel bajet di Susur Dewata 1, Larkin Perdana.

Wanita yang tidak bekerja itu mohon denda sahaja kerana dua lagi anak berusia 4 dan 5 tahun di bawah jagaannya.

Timbalan Pendakwa Raya Suhaila Shafi’uddin memohon hukuman setimpal dengan kesalahan dilakukan tertuduh.

“Mengikut keterangan impak mangsa, ternyata mereka trauma dengan kejadian ini,” katanya.

Kamarudin mengarahkan hukuman penjara 15 tahun bagi setiap pertuduhan, namun memerintahkan pertuduhan sama tarikh berjalan serentak, manakala yang lain dilaksanakan selepas tamat hukuman sebelumnya.