ISKANDAR PUTERI - Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) wujud program perintis bagi membantu penganjuran aktiviti yang lebih berkesan oleh Sekolah Agama (SA) Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Abd Mutalip Abd Rahim berkata, bagi permulaan, 10 sekolah agama dari setiap daerah dipilih serta menerima peruntukan di bawah Program Sekolah Agama Angkat KPRJ Johor.

Menurutnya, peruntukan berjumlah RM150,000 itu disalurkan bagi memastikan perjalanan aktiviti sekolah agama berkenaan setara dengan sekolah aliran perdana di negeri ini.

“Kita hargai usaha dilakukan oleh KPRJ bagi membantu sekolah di bawah jabatan agama Islam negeri bagi meningkatkan tahap keyakinan murid melalui program yang dirancang.

“Setiap sekolah ini akan menerima RM15,000 yang mana mereka akan menjalankan pelbagai aktiviti membabitkan aspek akademik dan kokurikulum. Kita tidak mahu mereka ketinggalan kerana sekolah agama adalah aset negeri sejak sekian lama,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Sekolah Agama Angkat KPRJ-Hope, sempena Ekspo Johor Berkemajuan 2017, di sini, semalam.

Antara sekolah terlibat:

1. SA Teluk Butan Lesung

2. SA Parit Kadir

3. SA Taman Gaya

4. SA Taman Muhibbah

5. SA Ladang Tereh

6. SA Sri Pantai

7. SA Kampung Sanglang

8. SA Pengkalan Besar

9. SA Bekok

10. SA Parit Raja.

Abd Mutalip berkata, usaha itu juga akan menjadi pemangkin dalam membantu kerajaan negeri terus membangunkan sekolah agama selaras dengan keperluan rakyat.

Katanya, fasa kelima pembangunan 30 sekolah agama seluruh negeri oleh KPRJ dijangka siap pada hujung tahun depan.

“Kos pembangunan 30 sekolah agama bagi fasa kelima menelan belanja RM14.2 juta.

“Kerajaan negeri dalam pertimbangan membangunkan Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAB) di Kulai dan Tangkak berikutan keperluan dan permintaan tinggi daripada ibu bapa,” katanya.