JOHOR BAHRU - Bermula dengan 12 murid dan tiga guru, Sekolah Islam Hidayah (SRIH) ditubuhkan pada 1989 telah berkembang dan kini mampu menempatkan 1,250 murid sekolah rendah.

Guru Besar, Rohaida Ridzwan berkata, falsafah pendidikan yang dipegang oleh sekolah ialah pendidikan sebagai proses yang berteraskan tauhid bagi membina insan rabbani dalam sistem yang holistik, bersepadu, seimbang dan dinamik berpandukan al-Quran dan Sunah.

“Usaha ini bagi membentuk individu yang berkemampuan membangunkan kehidupan diri, keluarga, masyarakat dan negara ke arah satu peradaban yang sejahtera.

“Visi SRIH pula ialah menjadi sebuah institusi pendidikan Islam yang unggul menjelang 2020,” katanya.

Sekolah yang didaftarkan di bawah Kementerian Pendidikan dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor ini turut dilengkapi kemudahan pembelajaran termasuk makmal sains, makmal reka bentuk & teknologi (RBT), makmal komputer, pusat sumber, dewan mesyuarat, padang bola sepak, surau, kedai, kantin serta keperluan lain yang diperlukan bagi sebuah sekolah.

Rohaida berkata, SRIH turut meraih beberapa pengiktirafan antaranya Anugerah 5 Bintang dalam Standard Kualiti Institusi Pendidikan Swasta, KPM, Anugerah 5 Bintang dalam Standard Kualiti Ikram–Musleh, Jawatankuasa Pendidikan Ikram Musleh, Anugerah 5 Bintang dalam Standard Kurikulum Ikram-Musleh, JK Pendidikan Ikram Musleh.

Malah kejayaan itu disokong dengan rekod cemerlang dalam sukan apabila muridnya pernah terpilih mewakili Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia bagi acara memanah.

Rohaida berkata, aspek pengucapan awam turut diberi penekanan bagi melahirkan pemimpin yang mampu berkomunikasi dengan berkesan, penuh keyakinan dalam bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa Arab.

Murid SRIH turut aktif dalam aktiviti kurikulum.

 

Selain itu katanya, turut ditekankan program sahsiah dan kerohanian menerusi kemantapan akidah dalam sesi PdPc melalui modul Akidah Merentasi Kurikulum serta murid didedahkan kepada aspek perpaduan kaum dibuat melalui program silang budaya.

“Sebagai kesinambungan, murid-murid yang tamat Tahun 6 diberi keutamaan menyambung pembelajaran di Sekolah Menengah Islam Hidayah yang mendukung falsafah dan visi yang sama serta beroperasi di kawasan yang sama.

“Harapan kita untuk membawa sekolah ini terus dinamik sesuai dengan perubahan pesat dunia pendidikan khususnya dan perubahan dunia secara amnya dengan kekal fokus mendukung falsafah membina peradaban sejahtera demi kebahagiaan di dunia dan akhirat.

“Kami juga mengalu-alukan perkongsian kepakaran dan sumbangan dana pembangunan daripada pelbagai pihak supaya sekolah dapat terus berkembang dan teguh berdiri membina insan rabbani,” katanya.