PONTIAN - Keselamatan murid di Sekolah Agama Bandar Pontian kini lebih terjamin selepas bangunan baharu di Jalan Parit Mesjid bernilai RM3.5 juta siap sepenuhnya dan sudah mula beroperasi awal Jun lalu.

Pegawai Pendidikan Islam daerah, Adam Mohamed berkata, perpindahan sekolah ke tapak baharu itu memudahkan ibu bapa menghantar anak mereka tanpa perlu bimbang soal kesesakan lalu lintas.

“Bangunan asal Sekolah Agama Bandar Pontian terletak di Jalan Sekolah Arab yang mempunyai dua sekolah menengah di situ.

“Pada sebelah tengah hari dan petang, jumlah kenderaan bertambah menyebabkan berlakunya kesesakan lalu lintas yang boleh mengancam keselamatan murid,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Jalinan Ukhuwah Aidilfitri, Keraian Guru Bersara, Bakal Haji dan Minggu Wajib Guru-guru Agama Daerah Pontian di Sekolah Agama Bandar Pontian di sini, semalam.

Hadir sama, wakil rasmi Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Islam Johor, Abdul Jalil Khalil.

Adam berkata, bangunan baharu yang dibina di atas tanah wakaf berkeluasan 4,200 meter itu dilengkapi kemudahan surau dan pusat sumber.

“Setakat ini jumlah murid Sekolah Agama Bandar Pontian seramai 527 orang. Jumlah murid dijangka meningkat berikutan pertambahan kawasan perumahan di bandar Pontian.

“Oleh itu, pembinaan bangunan baru amat penting bagi masa hadapan pendidikan generasi akan datang,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, tiga lagi bangunan sekolah agama akan dibina tahun ini iaitu di Ayer Baloi, Sri Bugis dan Kampung Melayu Raya.

Katanya, menjadi dasar kerajaan negeri supaya sekolah agama dapat berdiri di atas bangunan mereka sendiri dengan kemudahan pendidikan yang lebih baik.

Sementara itu, Guru Besar Sekolah Agama Bandar Pontian, Tisam Reswan berkata, kegembiraan berpindah ke bangunan baharu turut dirasai ibu bapa murid.

“Ibu bapa murid dan penduduk setempat dari Taman Damai banyak membantu ketika bangunan baru hendak mula digunakan.

“Mereka bergotong-royong membersihkan semak samun di tepi jalan masuk ke sekolah ini bagi memudahkan ibu bapa menghantar anak mereka,” katanya.