KOTA TINGGI - Seramai 100 murid dari sekolah Zon Sedili Pantai di sini menyertai Program Kecemerlangan Bengkel Teknik Menjawab soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2017, yang berlangsung selama dua hari di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Setia Jaya.

Adun Sedili, Rasman Ithnain, berkata, bengkel itu bertujuan membantu murid bagi melakukan persediaan untuk menjawab soalan dalam UPSR pada tahun ini.

Menurutnya, ia disertai sembilan sekolah dan dianjurkan Majlis Sekolah-sekolah Sedili Pantai serta Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora).

"Kita harap menerusi bengkel ini juga akan bantu meningkatkan kefahaman murid, selain memberi suntikan motivasi untuk mereka.

"Usaha yang jitu mampu membuahkan hasil yang baik. Saya harap program ini akan dijadikan aktiviti berterusan kerana pendidikan saja mampu mengubah kehidupan masyarakat kita.

"Bagaimanapun usaha dilakukan ini memerlukan sokongan ibu bapa yang perlu lebih berperanan dalam menentukan hala tuju anak anak mereka," katanya ketika berucap merasmikan bengkel tersebut.

Antara sekolah yang terlibat dalam program diadakan adalah SK Sri Setia Jaya, SK Teluk Hutan Lesung, SK Mawai, SK LKTP Tenggaroh Selatan, SK Sedili Besar, SK Sri Perani, SK Sedili Kecil, SK Gembut dan SK Sempang.