Setelah lebih lima bulan menanti, akhirnya saya berpeluang menjejakkan kaki ke tiga pulau di perairan Mersing, minggu lalu.

Perjalanan kali ini, saya ditemani sahabat wartawan Sinar Harian dari Shah Alam, Siti Nursyahidah Abu Bakar, yang datang ke Mersing buat pertama kalinya.

Siapa sangka dalam perjalanan ini, saya dapat bertemu dengan sahabat wartawan yang sebelum ini berkhidmat dengan Bernama, Kak Faddila dan salah seorang pegawai dari Proton di Hicom, Shah Alam, Uncle Mazlan.

Selain mereka bertiga, ada anak Uncle Mazlan, Kila dan Amy; dua sahabat, Afiq dan Adil serta sahabat baik Kak Faddila, Kak Yus.

Perkenalan dengan mereka memang menyeronokkan, pelbagai aksi yang mencuit hati berlaku sepanjang perjalanan kami.

Destinasi kami kali ini Pulau Hujung, Pulau Tengah dan Pulau Besar menaiki bot laju diberi nama Aluha yang dikemudi Fazli dan Cik Die, melalui pakej harga berpatutan malah sarapan, makan tengah hari, pencuci mulut dan minuman disediakan.

 

Teruja lihat air laut biru kehijauan

Meskipun masing-masing sudah pernah mengunjungi pulau-pulau lain, namun nyata kami semua begitu teruja menyaksikan indahnya ciptaan Tuhan yang terbentang di depan mata ketika itu.

Malah sepanjang perjalanan, mata masing-masing terus melilau tidak mahu melepaskan peluang melihat keindahan pemandangan yang disaji.

Ada Pulau Harimau, Pulau Gual dan pelbagai gugusan pulau lain yang dapat disaksikan sepanjang perjalanan menuju ke lokasi pertama, Pulau Hujung.

Apabila tiba di Pulau Hujung setelah menaiki Aluha selama 20 minit dari Jeti Mersing, memang rasa cepat-cepat nak terjun.

Ini kerana tarikan kepada air lautnya yang jernih di samping pemandangan memukau mata.

Pulau Hujung memiliki pasir pantai yang putih bersih manakala air lautnya biru kehijauan.

 

Memang tiada sebarang gangguan

Pasirnya putih bersih, airnya jernih berwarna biru kehijauan ditambah dengan udara yang segar serta hutan yang menghijau.

Kombinasi tepat untuk menikmatinya tanpa sebarang gangguan, lebih-lebih lagi hanya kita sahaja di sana. Memang privasi sungguh!

Ditambah banyak pula sudut dan prop semula jadi yang boleh dirakam sebagai gambar kenang-kenangan untuk dibawa pulang.

Mandi, snorkeling dan bergambarlah sepuasnya tanpa gangguan, tanpa berebut dengan sesiapa pun.

Boleh dikatakan, di situ hanya ada kamu dan alam.

Selepas kira-kira dua jam habiskan masa di Pulau Hujung, kami bergerak ke destinasi seterusnya, Pulau Tengah.

Airnya berwarna kehijauan dan ada batu-batuan yang tinggi boleh dijadikan tempat berehat jika penat berenang dan snorkeling.

Di sini juga sama seperti di Pulau Hujung, privasi sungguh!

Mungkin kerana di kedua-dua pulau ini tiada sebarang chalet mahupun resort didirikan menjadikan kedua-duanya kekal semula jadi.

Cerita tentang Pulau Besar akan saya kongsi dalam catatan akan datang.

Jangan lupa saksikan sendiri keindahan Pulau Hujung dan Pulau Tengah ya.

Saya dan Syidah (kiri) sempat merakam gambar berlatar belakangkan Pulau Tengah dari atas Aluha.

Kami tidak ketinggalan merakam gambar bersama di  Pulau Hujung sebelum bergerak menuju ke Pulau Tengah.