Murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Putra, Segamat diberi pengiktirafan pada Hari Anugerah Cemerlang bertempat di Hotel Villa, baru-baru ini.

Guru Besarnya, Mohd Yunos Abdul Rahman berkata, hari anugerah cemerlang ini dirancang setiap tahun dalam takwim kelas pendidikan khas.

“Program ini bertujuan untuk memberi pengiktirafan kepada murid sama ada dari segi kokurikulum sepanjang tahun 2017.

“Pengiktirafan ini sangat penting kerana ia sedikit sebanyak memberi impak, semangat dan pemangkin kepada murid pendidikan khas untuk terus berusaha pada masa akan datang,” katanya.

Mohd Yunos berkata, kejayaan dan prestasi cemerlang yang ditonjolkan oleh murid PPKI seharusnya diberi penghargaan yang sewajarnya.

Katanya, melalui program ini juga dapat mengumpulkan  warga pendidikan khas yang terdiri daripada guru, pembantu pengurusan murid (PPM), ibu bapa dan murid untuk berkumpul bagi berkongsi idea dan beramah mesra di antara satu sama lain.

Majlis disempurnakan perasmiannya oleh wakil rasmi Syarikat Jakel Segamat, Fadzil Mohd.

Sementara itu, Fadzil dalam ucapannya melahirkan rasa bangga dengan anak-anak didik pendidikan khas yang mampu seiring dengan kanak-kanak normal yang lain dalam usaha meningkatkan potensi diri.

“Ibu bapa yang ada anak-anak pendidikan khas tidak perlu malu mempunyai anak-anak OKU, kerana sistem pendidikan negara kita memberi peluang yang sama rata pada setiap murid walau apa jua keupayaannya,” katanya.

Majlis tersebut juga diserikan dengan persembahan zapin oleh kumpulan zapin kelas PPKI SK Bandar Putra, nyanyian solo serta persembahan nyanyian bahasa isyarat.

Acara kemuncak ialah penyampaian anugerah kepada murid-murid yang cemerlang dalam pelbagai aspek kurikulum, kokurikulum serta sahsiah murid.