SEGAMAT – Bekas pelajar yang pernah mendapatkan pendidikan di Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) mengakui ilmu yang diperoleh dahulu amat berguna dalam kehidupan seharian mereka.

Bekas pelajar, Khairul Nizam Abdul Manap, 38, berkata, kerancakan perkembangan pendidikan melalui pelbagai dasar pendidikan agama Islam yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri berjaya memartabatkan keberadaannya dalam arus perdana pendidikan negara.

“Bagi saya, objektif penubuhan sekolah agama ini sebenarnya telah tercapai iaitu untuk memastikan kanak-kanak Islam di negeri ini menghayati amalan-amalan fardu ain, fardu kifayah dan sunat dengan baik menerusi pelajaran amali.

“Walaupun, ada pihak yang menganggap sekolah ini tidak penting, kerajaan negeri melalui Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) telah berjaya memartabatkan dan memperjuangkan sekolah agama ini,” katanya.

Menurutnya, dengan berbekalkan pendidikan dan sijil sekolah agama juga telah menyebabkan dia diterima sebagai salah seorang guru agama walaupun terpaksa bermula daripada guru Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa).

Katanya, sejak menjadi guru agama hampir 19 tahun, dia mengakui umat Islam di negeri ini beroleh manfaat yang besar sehinggalah amalan menghantar anak untuk mengikuti pengajian agama sudah menjadi sebahagian daripada budaya orang Johor.

“Apa yang membezakan sekolah-sekolah agama di Johor dengan negeri-negeri lain ialah Kerajaan Negeri Johor sejak awal lagi telah secara agresif mengambil alih sekolah-sekolah ini, manakala di negeri lain sekolah agama dibiarkan berkembang dengan sendiri.

“Selain itu, apa yang diajar di sekolah agama juga berkait rapat dan dekat dengan kehidupan seharian kita sebagai orang Islam seperti akhlak, ibadat, sirah, faraid dan pelbagai lagi yang melengkapkan kita sebagai orang Islam,” katanya.

Menurutnya, perbezaan dari sudut pelajar sekolah agama dulu dan sekarang adalah dari sudut pengembangan ilmu dan kemenjadian pelajar kerana dahulu pelajar didedahkan dengan pengisian ilmu yang ada di dalam risalah tauhid seperti kitab Matlaul Badrain.

Katanya, selain itu,  pelajar juga didedahkan dengan amali dalam kehidupan bermasyarakat seperti contoh solat Asar berjemaah dengan masyarakat sama ada masjid atau surau dan amali pengurusan jenazah sekiranya ada kematian.

Sementara itu, bagi pelajar sekolah agama, Ahmad Najhan Mohd Ridhuan, 12, berkata, pembelajaran berkaitan ilmu agama di sekolah agama lebih mendalam walaupun di sekolah kebangsaan terdapat subjek Pendidikan Islam.

“Di sekolah agama saya dapat memupuk kemahiran menulis dan membaca jawi serta dapat mempertahankannya selain dapat memahami dan memupuk kemahiran berbahasa Arab sama ada secara lisan dan tulisan.

“Saya cuba menyeimbangkan di antara akademik dan aktiviti kokurikulum di sekolah agama walaupun masanya agak pendek berbanding di sekolah kebangsaan,” katanya.
 

Sejarah sekolah agama di Johor

SEKOLAH Agama Kerajaan Johor merupakan sekolah pendidikan Islam yang ditadbir terus oleh Kerajaan Johor menerusi Bahagian Pendidikan Islam, Jabatan Agama Islam Negeri Johor.

Ia diwujudkan atas titah perintah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Johor, Almarhum Sultan Abu Bakar pada penghujung abad ke-19 dengan dikenali sebagai sekolah al-Quran.

Langkah mewujudkan sekolah agama ini adalah untuk memberi pendidikan Islam kepada kanak-kanak beragama Islam di negeri ini dengan menggunakan perantaraan Bahasa Melayu.

Almarhum Sultan Abu Bakar mahu kanak-kanak Islam di Johor mendapat pendidikan agama yang teratur, sempurna dan dikawal oleh pihak pemerintah negeri.

Sekolah Agama Kerajaan Johor ini tidak asing dalam kalangan masyarakat Islam malah dilihat satu keperluan buat setiap keluarga untuk menghantar anak mereka mendapatkan pendidikan tersebut.

Meskipun sudah mendapat pendidikan agama menerusi subjek Pendidikan Islam yang diajar di sekolah rendah dan sekolah menengah, sekolah agama tetap dilihat perlu oleh masyarakat Johor.

Ia sekali gus membuktikan Kerajaan Johor meletakkan pendidikan Islam di tahap terbaik dalam soal rakyat di negeri ini, sejak abad ke-19 lagi.

Selain itu, ia memperlihatkan imej Kerajaan Johor Moden itu sendiri yang mempunyai sistem pendidikan Islam yang baik serta tersusun.

Objektif

Matlamatkewujudan Sekolah Agama Johor ini adalah untuk membolehkan kanak-kanak Islam mengenal, mempelajari, memahami dan menghayati asas-asas akidah dan ibadah.

Mata pelajaran yang diajar untuk membawa kanak-kanak Islam Johor dapat membaca al-Quran dengan baik, bertajwid selain mampu memahami dan menghayati tafsir serta pengajaran yang terkandung di dalamnya.

Selain itu, ia membolehkan kanak-kanak yang mendapatkan pendidikan agama melalui Sekolah Agama Johor mampu menghafaz surah-surah pilihan.

Pada masa sama, kurikulum Sekolah Agama Johor membantu membentuk peribadi mulia, berfikiran positif, berdaya kreatif, produktif serta sentiasa berdaya tahan dan berdaya maju.

Lebih istimewa, kemahiran menulis dan membaca jawi dipupuk dengan kemas di samping kemampuan menguasai bahasa Arab secara lisan dan penulisan.

Akhirnya, kanak-kanak yang mengikuti Sekolah Agama Johor mampu melakukan dan menghayati amalan-amalan fardu ain, fardu kifayah dan sunat dengan baik.

Darjah Khas Agama Johor

Bagi yang lulus Sekolah Agama Johor boleh melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat Darjah Khas.

Malah mereka juga berpeluang melanjutkan pelajaran ke Tingkatan Satu, Sekolah Menengah Agama Negeri Johor.

Darjah Khas Agama Johor adalah lanjutan program pembelajaran di Sekolah Agama Kerajaan Johor.

Darjah Khas Agama Negeri Johor adalah Institusi Pendidikan Agama Johor yang telah berjalan secara formal sejak tahun 1923.

Ia diwujudkan untuk memberi pengetahuan Agama Islam kepada pelajar serta kerjaya yang setaraf dengannya.