JOHOR BAHRU - Sekolah Kebangsaan (SK) Kangkar Pulai 2, di sini bercadang mengadakan program kunjungan ke Sekolah Dasar Negeri (SDM) 002 Meral Barat, Karimun, Indonesi pada September depan.

Guru Besar SK Kangkar Pulai 2, Jais Sudin berkata, program dan kunjungan julung kali diadakan itu merupakan usaha bagi merapatkan hubungan melalui program pengantarabangsaan kedua-dua sekolah berkenaan.

Menurutnya, kunjungan tersebut diharap memberi lebih ruang kepada kedua-dua pihak meningkatkan kerjasama bagi memajukan kecemerlangan pendidikan di sekolah masing-masing.

“Kita bercadang membawa 10 murid yang cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum selepas mereka selesai menduduki Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR) ke sana sebagai membina jaringan kerjasama antara kedua-dua pihak.

“Sebelum ini, program seumpama ini hanya melibatkan guru dan kali ini kita bawa sekali murid bagi mendedahkan mereka dengan pihak luar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan rombongan daripada SDM 002 Meral Barat, Karimun Indonesia untuk membincangkan lebih lanjut penganjuran program itu di SK Kangkar Pulai 2, di sini, semalam.

Jais

Pada kunjungan itu, seramai lapan guru yang diketuai Guru Besar SDM 002 Meral Barat, Karimun, Indonesia, Siti Ramlah Abdullah hadir pada sesi perbincangan berkenaan.

Jais berkata, buat permulaan sekolahnya memilih sekolah dari Indonesia dan bercadang ke negara lain termasuk Brunei dan Singapura bagi menjayakan program pengantarabangsaan yang sememangnya digalak dilaksanakan di peringkat jabatan pendidikan sendiri.

“Kita memilih sekolah dari Indonesia kerana persamaan komunikasi selain dalam satu rumpun.

“Kita harap kejayaan program pengantarabangsaan yang pertama kali diadakan turut membuka lembaran baru dalam sejarah sekolah dan diadakan lagi pada masa akan datang.

“Program ini menjadi platform kepada kami mempelajari sesuatu di SDM 002 Meral Barat, Karimun, Indonesia berkaitan cara pembelajaran dan pengajaran (P&P) termasuk aktiviti di luar bilik darjah seperti kokurikulum yang berhubung kait dengan kecemerlangan pelajar,” katanya.

Sementara itu, Siti Ramlah sememangnya mengalu-alukan kunjungan daripada SK Kangkar Pulai 2 dan ia juga adalah kunjungan pertama dari sekolah negara ini.

“Kami juga tidak sabar menerima kunjungan tersebut selain mahu mengetengahkan kebudayaan kami.

“Diharap kerjasama kami tidak terhenti di situ sahaja dan kami juga turut mengalukan-alukan mana-mana sekolah lain dari Malaysia untuk datang ke sekolah kami,” katanya.