PASIR GUDANG - Kerajaan Johor memuji inisiatif penubuhan Sekolah Seni Malaysia khususnya di Johor yang disifatkan sebagai wajar dan penting.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sekolah tersebut menyediakan ruang untuk membolehkan pelbagai bakat terbaik anak bangsa dibongkar dan ditonjolkan.

Menurutnya, sudah tidak ada lagi sistem pendidikan yang mendatar, sehala atau linear dalam kurun serta dekad mendatang.

“Ini adalah era yang dipacu oleh sistem pendidikan bukan linear tetapi sistem pendidikan yang mesti luwes (tidak ketat), anjal dan inovatif, sekali gus menjurus kepada pengembangan bakat sebenar individu.

“Tidak semua anak kita harus melalui kurikulum atau sukatan yang stereotaip dan seragam. Oleh itu, kita komited dalam membangun dan menyokong institusi seperti sekolah seni ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung PIBG Sekolah Seni Malaysia Johor di Bandar Seri Alam, di sini, semalam.

Mohamed Khaled berkata, melalui kewujudan sekolah seni, pelbagai potensi anak bangsa dalam seni untuk kemandirian masa depan dapat dibangunkan.

“Bakat dan potensi mereka yang dicungkil dan dikembangkan.

“Bukannya dipaksakan ke atas mereka satu sukatan yang tidak mereka gemari,” katanya.