PONTIAN - Kehidupan seorang kanak-kanak perempuan, Nur Umairah Moh Najim, 10, berubah sepenuhnya apabila dia kini hanya mampu terlantar di rumah selepas terlibat kemalangan jalan raya dua minggu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, Nur Umairah mengalami kecederaan parah di kaki kiri selepas motosikal ditunggang bersama ibunya terbabit kemalangan.

Ibunya, Salmi Md Tahar, 41, berkata, kaki kiri anak kedua daripada tiga beradik itu patah dan terpaksa disimen.

“Umairah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru akibat kecederaan teruk yang dialami.

“Saya diberitahu tulang kakinya patah dan perlu disimen. Simen di kakinya akan dibiarkan dalam tempoh empat bulan,” katanya ketika ditemui di Pekan Nanas, di sini, semalam.

Suri rumah itu berkata, dia terpaksa menjaga Nur Umairah sepanjang masa kerana dia memerlukan penjagaan rapi selain sering mengadu sakit di bahagian kakinya.

“Dia kini bergantung kepada susu sebagai makanan hariannya. Jika diberikan nasi, Umairah akan muntah.

“Ini menyebabkan berat badannya semakin susut. Sejak dia kemalangan, duit susu sahaja sudah mencecah RM250,” katanya.

Selain Nur Umairah, Salmi turut mempunyai seorang anak kurang upaya (OKU) yang juga memerlukan perhatian sepenuhnya.

Menurut Salmi, anaknya itu, Mohd Hakimi, 12, turut bergantung dengan susu formula sebagai makanan tambahan harian.

Katanya, dengan pendapatan suami, Mohd Nazim Abdullah, 41, yang bekerja di sebuah kilang di Pekan Nanas, dia perlu bijak membahagikan perbelanjaan untuk keperluan anak-anaknya.

“Disebabkan perbelanjaan membeli susu untuk Umairah agak tinggi, jadi susu formula untuk Mohd Hakimi saya ganti dengan air coklat yang lebih murah,” katanya.

Selain perbelanjaan keperluan harian dan anak-anak, keluarga itu juga perlu membayar sewa rumah setiap bulan sebanyak RM560.

Dalam pada itu, Salmi menitiskan air mata tatkala menerima sumbangan yang disampaikan Pengurus Operasi Pasaraya Econsave, Mas Imran Adam dan Pengurus Pasaraya Econsave Pekan Nanas, Tan Tian Hock.

Sumbangan bernilai RM1,000 berbentuk lampin pakai buang, susu dan makanan harian itu diharapkan dapat meringankan beban keluarga terbabit.