MERSING - Seramai 44 mahasiswa dari pelbagai universiti di luar negara hadir ke daerah ini bagi berkongsi pengalaman menarik dengan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Teriang, Endau dalam program Perantau Cakna 2017.

Pengarah program, Akmal Hakim Azizey berkata, pihaknya memang menyasarkan pelajar sekolah luar bandar yang kurang terdedah dengan teknologi.

“Kami cuba berkongsi ilmu, pengalaman yang boleh dan sekurangnya dapat dijadikan inspirasi kepada adik-adik di sini.

“Saya mahu mereka tahu peluang sambung belajar itu milik semua orang dan dengan pelajaran juga kita dapat ubah kehidupan keluarga kepada lebih baik,” katanya kepada Sinar Harian ditemui pada majlis penutup program Perantau Cakna 2017 di SK Teriang, Endau, semalam.

Program selama lima hari itu melibatkan 72 pelajar tahun 4, 5 dan 6 sekolah berkenaan dan 22 keluarga angkat.

Mengulas lanjut, Akmal yang merupakan pelajar dari Universiti Inha, Korea Selatan berkata, program masuk tahun ketiga penganjuran itu adalah salah satu cara mahasiswa Malaysia yang menuntut di luar negara berbakti kepada rakyat negara ini.

“Kami dari pelbagai universiti dari 15 negara termasuk Rusia, Perancis, Mesir, Ireland, United Kingdom dan Indonesia bergabung menjayakan program ini.

“Kami kumpul dana dengan berniaga di universiti masing-masing untuk membiayai kos program di sekolah ini,” katanya.

Sementara itu, penyelaras program dari SK Teriang, Mohd Sukri Ali berkata, murid begitu teruja ketika mendengar perkongsian mahasiswa luar negara yang mampu meniupkan semangat supaya mereka belajar lebih gigih.

“Apabila ada abang dan kakak yang berkongsi cerita dengan mereka, lebih-lebih lagi tentang negara luar yang mereka tak pernah pergi, anak-anak ini teruja.

“Apa yang penting kehadiran mahasiswa ini untuk beri motivasi kepada anak-anak kita dan kalau boleh ikut langkah kerana mahasiswa yang datang ni bukan anak orang berada. Jadi mereka boleh jadikan contoh untuk ubah kehidupan keluarga kepada lebih baik,” katanya.