JOHOR BAHRU – Persiapan akhir istiadat perkahwinan bekas murid Sekolah Convent Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim dan pasangannya, Dennis Muhammad Abdullah di Istana Besar, Johor Bahru pada 14 Ogos ini berjalan lancar.

Pejabat Royal Press Office (RPO) dalam satu kenyataan berkata, majlis perkahwinan diraja itu secara rasminya dimulakan dengan Istiadat Meletak Kerja di Tugu Peringatan Istana Besar pada Rabu lalu.

“Selain pemasangan bendera negeri di beberapa jalan utama, persekitaran Istana Besar turut dihiasi bunga-bungaan dan limpahan cahaya berwarna-warni,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Pemandangan Tangga Agung di Istana Besar Johor Bahru dengan persekitaran landskap yang kemas serta berkibar megah bendera Johor.

Menurut kenyataan itu lagi, Istiadat Persandingan Diraja di Bilik Singgahsana, Istana Besar dihadkan kepada kerabat diraja serta orang kenamaan.

“Bagaimanapun, tetamu jemputan lain boleh menonton majlis berkenaan menerusi skrin digital di khemah yang didirikan berhampiran Tangga Agung.

“Orang ramai juga boleh mengikuti majlis ini secara langsung menerusi dua skrin pemancar cahaya (LED) yang didirikan di Dataran Bandaraya Johor Bahru bermula jam 8 malam dan satu skrin turut dipasang di bangunan Majlis Bandaraya Johor Bahru,” katanya.

Pemandangan waktu malam Istana Besar Johor Bahru yang dihiasi dengan limpahan cahaya.


 

Majlis doa selamat dan bacaan Yasin yang berlangsung di Masjid Pasir Pelangi, semalam turut dihadiri keluarga Diraja dan tetamu jemputan.

Manakala majlis pertunangan diadakan secara tertutup di Istana Bukit Serene pada jam 10 pagi, 14 Ogos ini diikuti istiadat akad nikah dan hanya dihadiri keluarga serta rakan terdekat.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mewakilkan Mufti Johor, Datuk Muhammad Tahrir Shamsudin sebagai wali.

Majlis diteruskan dengan istiadat persandingan pada jam 8 malam pada hari yang sama di Bilik Singgahsana Istana Besar.