JOHOR BAHRU - Rajin melaksanakan ibadat sunat setiap hari menjadi resipi kejayaan penerima anugerah cemerlang bagi peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Muhammad Shazwan Hakim Jamil.

Muhammad Shazwan Hakim, 19, berkata, dia sering bersolat  duha dan hajat serta membaca al-Quran.

Menurut anak pertama daripada tiga beradik itu, statusnya sebagai anak sulung juga mendorongnya untuk memberi teladan terbaik kepada dua adiknya.

“Sepanjang melakukan amalan sunat selain mengutamakan ibadah yang diwajibkan, saya berasa lebih tenang. Malah, saya turut fokus ketika guru mengajar di kelas.

“Saya juga gemar berbincang dengan rakan-rakan. Pada saya, apabila kita berkongsi ilmu yang dimiliki, maka ia dapat meningkatkan kefahaman terhadap satu-satu subjek itu,” katanya.

Muhammad Shazwan antara 11 pelajar yang meraih Mumtaz Sofi menerima anugerah itu pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan Tahun 2016 Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK); Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR); Sijil Darjah Khas Agama (SDKA); Sijil Darjah Enam Agama (SDEA); Sijil Intensif Bahasa (SIB); Sekolah Menengah Rendah Agama (SMRA); Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3); Sekolah Menengah Agama (SMA); Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) dan STAM Sekolah Agama Johor di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar Johor.

Seramai 423 pelajar dan 248 sekolah menerima anugerah kecemerlangan masing-masing pada majlis yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Abd Mutalip Abd Rahim.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam negeri, Amran A Rahman dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kemajuan Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Azizan Mohammad.

Muhammad Shazwan Hakim yang berasal dari Kundang Ulu, Gersik, Tangkak berkata, dia kini sedang menunggu tawaran sambung belajar dalam bidang  Pengajian Bahasa Arab demi mengejar cita-citanya sebagai pensyarah.

Kata bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Lughatul Quran itu, dia memperuntukkan masa sekitar dua jam untuk mengulang kaji pelajaran.

Sementara itu, penerima anugerah cemerlang SDKA, Nurr’izzati Mohamad Zamri, 14, dari Sekolah Agama Ismail Arifin, Pekan Air Panas, Labis, turut mengakui amalan mengerjakan ibadat sunat pengaruhi kejayaannya.

“Saya akan pastikan setiap hari saya solat hajat selepas solat Maghrib. Saya juga lakukan solat tahajud tiga kali seminggu," katanya.