Sekolah Agama Kerajaan Johor adalah satu-satunya pendidikan agama yang mempunyai asas dan bersistem serta tidak ada di negeri lain yang mana ia merupakan sekolah pendidikan Islam yang ditadbir terus oleh kerajaan negeri melalui Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Abd Muttalib Abd Rahim berkata, sekolah ini diwujudkan atas perintah Sultan Johor, Almarhum Sultan Abu Bakar sebagai memberi pendidikan agama kepada kanak-kanak Islam di negeri ini.

Menurutnya, sekolah tersebut menggunakan perantaraan bahasa Melayu secara percuma yang bertujuan bagi memastikan kanak-kanak Islam di Johor mendapat pendidikan agama yang teratur, sempurna dan dikawal oleh kerajaan negeri.

“Secara ringkasnya, bermula pada tahun 1918 pendidikan bermula dengan nama Sekolah Al-Quran yang hanya kepada pembelajaran al-Quran. Kemudiannya, pada tahun 1920 nama Sekolah Al-Quran ditukar kepada Sekolah Kitab.

“Seterusnya, pada tahun 1923 pendidikan agama diperkembangkan lagi dengan mewujudkan kelas Darjah Khas sebagai satu-satunya lanjutan Sekolah Agama Petang. Tidak berhenti di situ sahaja, pada tahun 1960 pula Maahad Johor ditubuhkan sebagai pusat pengajian IV Thanawi di negeri Johor bagi kesinambungan Thanawi I hingga Thanawi III.

“Pendidikan agama Islam di negeri ini diperkukuhkan lagi dengan tertubuhnya sekolah berasrama penuh iaitu Sekolah Menengah Agama Kerajaan Johor, Kluang (SMAKJ) pada tahun 1988,” katanya.

Abd Muttalib berkata, melihat pada perkembangan pendidikan agama Johor yang bermula dari sekolah rendah, menengah juga sekolah tinggi, maka tercetuslah idea penubuhan Kolej Pengajian Islam Johor (Marsah) pada tahun 1997 yang mana ia 100 peratus bawah pentadbiran kerajaan negeri ini.

“Kerajaan negeri juga turut menubuhkan Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB) yang berfungsi sebagai gabungan akademik dan agama dalam satu sistem pendidikan. Pendidikan agama haruslah dipupuk daripada akar umbi. Pada tahun 2001 tercetusnya pula idea penubuhan Tadika Agama Johor (TAJ).

“Jadi, di sini dapatlah dilihat bahawa bermula daripada penubuhan sekolah agama sehingga kini pendidikan agama telah melalui fasa evolusi yang mampan. Bersesuaian dengan era globalisasi kini, kajian demi kajian dijalankan demi mengislahkan Sekolah Agama di negeri ini,” katanya.

Abd Mutallib

 

Pelan Transformasi Sekolah Agama Negeri Johor

Beliau berkata, Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Negeri Johor juga telah mewujudkan satu pelan yang dikenali sebagai Pelan Transformasi Sekolah Agama Negeri Johor yang mana mencakupi semua aspek serta memfokuskan kebajikan guru, pembangunan sekolah, prasarana, murid, kurikulum dan kokurikulum.

“Silibus sekolah agama terus dipertingkatkan dan bermula dari hanya mata pelajaran al-Quran kemudian ditambah lagi dengan Tauhid, Ibadat dan Tasawuf dan seterusnya mata pelajaran Muamalat, Munakahat, Faraid, Jenayah, Akhlak, Tarikh, Tulisan Jawi dan bahasa Arab.

“Pengkajian semula mengenai silibus bermula sejak empat tahun lalu melibatkan dari tahun satu sehingga darjah khas yang mana kerajaan negeri akan menggunakan kembali Kitab Turath berdasarkan silibus Matlaal Badrain Wamajmaal Bahrain.

“Kita menyasarkan sehingga November ini, kitab itu akan siap dicetak dan Kitab Matlaal Badrain Wamajmaal Bahrain akan diguna pakai sepenuhnya mulai tahun depan bagi darjah empat, lima, enam dan darjah khas," katanya.

Tak pernah abai pendidikan agama

Ujarnya lagi, Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) dan Majlis Agama Islam Johor (Maij) di dalam beberapa jawatankuasanya, sentiasa memikirkan keperluan-keperluan yang perlu dilaksanakan bagi memastikan pendidikan agama di sekolah agama sentiasa dipertingkatkan.

“Kita memandang serius dan tidak pernah sesekali pun mengabaikan atau mengambil mudah dalam sistem pendidikan agama, malah sentiasa mencari dan terus mencari apakah penambahbaikan yang boleh dipertingkatkan bagi memartabatkan lagi sistem pendidikan agama kita.

“Jaij telah pun berunding dengan Universiti Teknologi Malaysia untuk menjalankan kajian menyeluruh mengenai sistem pendidikan Islam Johor yang sedia ada untuk disemak semula dengan melihat cabaran-cabaran dan keperluan-keperluan di masa akan datang yang mana inisiatif ini juga diambil sempena Sambutan 100 Tahun Pendidikan Islam Negeri Johor yang akan diadakan pada tahun depan," katanya.

Jelasnya lagi, konsep amali atau praktikal telah pun dimasukkan dalam jadual pengajaran dan pembelajaran (P&P) di sekolah agama pada masa ini dengan masa yang diperuntukkan sebanyak 30 minit x lima hari seminggu atau 150 minit seminggu.

“Mulai tahun 2012, Jaij juga telah memperkenalkan program aktiviti rutin merentasi kurikulum (ARMK) bagi memperkukuhkan hafazan murid terhadap bacaan amalan harian, fardu ain dan fardu kifayah serta hafazan al-Quran mengikut sukatan pelajaran.

“Begitu juga dengan cadangan supaya masa yang lebih diperuntukkan untuk kelas amali di sekolah-sekolah agama yang mana cadangan tersebut telah dilaksanakan seperti amali solat dan hafazan.

“Sistem pelajaran sekolah agama Johor terus diperkukuhkan lagi dengan mengadakan pembelajaran di luar bilik darjah sebagai contoh mengadakan kursus pengurusan jenazah, penyembelihan," katanya.

“Selaras dengan perkembangan teknologi maklumat yang semakin pesat, kerajaan negeri telah meluluskan pelaksanaan program Johor Pendidikan Islam Digital (JPID) berasaskan teknologi Apple di dua sekolah agama  iaitu Sekolah Agama Bandar Johor Bahru dan Sekolah Agama Imtiaz, Johor Bahru yang  bertujuan melahirkan cendekiawan Islam yang celik teknologi maklumat (IT), luas pengetahuan dan berdaya saing,” katanya.

Bakal bina 30 lagi Sekolah Agama Kerajaan Johor

Tambah Abd Muttalib lagi, terdapat 578 sekolah agama di negeri ini sehingga 8 Mei lepas dan kerajaan bersetuju untuk membina lagi Sekolah Agama Kerajaan Johor dalam fasa lima yang akan dilaksanakan oleh Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) Builders Sdn Bhd membabitkan sebanyak 30 buah yang akan bermula dalam masa terdekat.

“Demi menjamin keselesaan dan ruang pembelajaran yang kondusif, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM4 juta daripada kewangan negeri dan RM2 juta daripada Maij menjadikan nilai peruntukan untuk prasarana sekolah agama sebanyak RM6 juta setahun.

“Malah, hampir RM1 juta diperuntukkan untuk alat bantu mengajar pada setiap tahun bagi memastikan sesi pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lancar.

“Malah, pelajar yang memiliki sijil darjah khas dengan pangkat satu dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mempunyai kelayakan dan diberi peluang untuk menyambung pelajaran di MARSAH serta mengikuti kursus yang ditawarkan sesuai dengan keinginan mereka serta mereka yang berkelayakan berpeluang menyambung pelajaran mereka di luar negara sebagai contoh di Timur Tengah,” katanya.

 

Sejarah sekolah agama di Johor

SEKOLAH Agama Kerajaan Johor merupakan sekolah pendidikan Islam yang ditadbir terus oleh Kerajaan Johor menerusi Bahagian Pendidikan Islam, Jabatan Agama Islam Negeri Johor.

Ia diwujudkan atas titah perintah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Johor, Almarhum Sultan Abu Bakar pada penghujung abad ke-19 dengan dikenali sebagai sekolah al-Quran.

Langkah mewujudkan sekolah agama ini adalah untuk memberi pendidikan Islam kepada kanak-kanak beragama Islam di negeri ini dengan menggunakan perantaraan Bahasa Melayu.

Almarhum Sultan Abu Bakar mahu kanak-kanak Islam di Johor mendapat pendidikan agama yang teratur, sempurna dan dikawal oleh pihak pemerintah negeri.

Sekolah Agama Kerajaan Johor ini tidak asing dalam kalangan masyarakat Islam malah dilihat satu keperluan buat setiap keluarga untuk menghantar anak mereka mendapatkan pendidikan tersebut.

Meskipun sudah mendapat pendidikan agama menerusi subjek Pendidikan Islam yang diajar di sekolah rendah dan sekolah menengah, sekolah agama tetap dilihat perlu oleh masyarakat Johor.

Ia sekali gus membuktikan Kerajaan Johor meletakkan pendidikan Islam di tahap terbaik dalam soal rakyat di negeri ini, sejak abad ke-19 lagi.

Selain itu, ia memperlihatkan imej Kerajaan Johor Moden itu sendiri yang mempunyai sistem pendidikan Islam yang baik serta tersusun.

Objektif

Matlamatkewujudan Sekolah Agama Johor ini adalah untuk membolehkan kanak-kanak Islam mengenal, mempelajari, memahami dan menghayati asas-asas akidah dan ibadah.

Mata pelajaran yang diajar untuk membawa kanak-kanak Islam Johor dapat membaca al-Quran dengan baik, bertajwid selain mampu memahami dan menghayati tafsir serta pengajaran yang terkandung di dalamnya.

Selain itu, ia membolehkan kanak-kanak yang mendapatkan pendidikan agama melalui Sekolah Agama Johor mampu menghafaz surah-surah pilihan.

Pada masa sama, kurikulum Sekolah Agama Johor membantu membentuk peribadi mulia, berfikiran positif, berdaya kreatif, produktif serta sentiasa berdaya tahan dan berdaya maju.

Lebih istimewa, kemahiran menulis dan membaca jawi dipupuk dengan kemas di samping kemampuan menguasai bahasa Arab secara lisan dan penulisan.

Akhirnya, kanak-kanak yang mengikuti Sekolah Agama Johor mampu melakukan dan menghayati amalan-amalan fardu ain, fardu kifayah dan sunat dengan baik.

Darjah Khas Agama Johor

Bagi yang lulus Sekolah Agama Johor boleh melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat Darjah Khas.

Malah mereka juga berpeluang melanjutkan pelajaran ke Tingkatan Satu, Sekolah Menengah Agama Negeri Johor.

Darjah Khas Agama Johor adalah lanjutan program pembelajaran di Sekolah Agama Kerajaan Johor.

Darjah Khas Agama Negeri Johor adalah Institusi Pendidikan Agama Johor yang telah berjalan secara formal sejak tahun 1923.

Ia diwujudkan untuk memberi pengetahuan Agama Islam kepada pelajar serta kerjaya yang setaraf dengannya.