PONTIAN - Sekolah Kebangsaan Pontian Besar dekat sini akan mempunyai dewan terbuka baharu yang dibina dengan kos RM200,000 bagi memberikan keselesaan kepada 300 muridnya.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Pontian, Zaiton Abd Hamid berkata, pembinaan dewan itu juga adalah atas permintaan penduduk kampung memandangkan tiada dewan di kawasan tersebut.

“Selain untuk kegunaan sekolah, diharap dewan ini juga boleh digunakan oleh penduduk sekitar untuk menjalankan aktiviti kemasyarakatan, selain sebagai tempat untuk riadah,” katanya pada majlis pecah tanah pembinaan dewan terbuka SK Pontian Besar.

Ujarnya, SK Pontian Besar yang mempunyai 300 murid termasuk 80 murid Orang Asli juga menunjukkan pencapaian yang baik, dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lalu.

"Oleh yang demikian, diharap kerjasama erat antara PIBG dan pengurusan sekolah akan dapat diperkukuhkan lagi.

"Ini bagi memastikan murid-murid belajar dalam suasana yang kondusif begitu juga tenaga pengajar," katanya.