PASIR GUDANG – Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Cendana terpilih mewakili Johor ke Pertandingan Pusat Sumber Cemerlang Peringkat Kebangsaan selepas menonjol daripada keseluruhan 11 daerah di negeri ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri, Datin Che Normadiah Che Abbas berkata, SK Taman Cendana memikul doa dan harapan yang menggunung untuk muncul johan dalam pertandingan tersebut bagi mengharumkan nama Johor.

“Tahniah SK Taman Cendana kerana Pusat Sumber yang canggih di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina di Muar yang menduduki tempat kedua peringkat negeri, tapi Pusat Sumber di sekolah ini lebih canggih sehingga dinobatkan sebagai johan negeri.

“Harapan dan doa kita semoga SK Taman Cendana dapat menjadi johan di pertandingan peringkat kebangsaan nanti agar dapat mengharumkan nama Johor di mata orang luar,” katanya pada Majlis Perasmian Galeri Sejarah Pusat Sumber Sekolah SK Taman Cendana, di sini, semalam.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Penolong Pengurus Besar Bahagian Khidmat Korporat dan Pembangunan Lembaga Pelabuhan Johor, Kamaruzaman Munasir dan turut dihadiri oleh Guru Besar SK Taman Cendana, Hasmah Ismail.

Che Normadiah berkata, murid-murid perlu dilatih untuk menjadi pewaris masa depan yang lebih kreatif, berdikari dan berani dalam melontarkan idea serta pandangan.

“Kita mahu murid hari ini lebih banyak bercakap daripada guru dan pantas melontarkan idea-idea baharu, bukan hanya menurut perintah dan menunggu arahan guru," katanya.

 

Caption:

Che Normadiah (dua, kiri) bersama Hasmah (kiri) ketika mengiringi Kamaruzaman menyempurnakan gimik perasmian Galeri Sejarah Pusat Sumber Sekolah SK Taman Cendana, semalam.