MERSING - Kejayaan pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Teluk Lipat di pentas Qari Junior 2017 terus mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Haikal Firdaus Mohd Jaafarudin, 12, sekali lagi diraikan warga sekolah berkenaan dalam satu majlis penghargaan yang diadakan semalam.

Pegawai Pendidikan Daerah Mersing, Md Jais Samat berkata, pihaknya berharap kejayaan Haikal itu dapat menjadi inspirasi kepada pelajar lain di daerah ini.

“Kita harapkan Haikal dapat menjadi pembakar semangat kepada warga kerja sekolah, anak-anak kita di Mersing seterusnya terdorong untuk mencipta kemenangan bagi menaikkan lagi nama Mersing.

“Kecemerlangan itu boleh dalam apa jua bidang, tak semestinya sama macam Haikal. Bidang keagamaan, sukan, pendidikan dan apa saja yang mereka boleh ceburi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis penghargaan khas untuk Haikal yang turut disertai murid-murid lain.

Menurut Md Jais, beliau percaya semua anak didik di daerah ini berpotensi untuk maju ke hadapan.

“Tapi kuncinya, perlu belajar, berusaha dan disiplin yang tinggi. Tanpa usaha serta disiplin ini tidak mungkin kejayaan itu dapat dicipta,” katanya.

Dalam majlis ringkas itu, Haikal turut memperdengarkan alunan ayat suci al-Quran sebelum menerima pelbagai hadiah dari rakan sekolahnya.

Haikal yang ditemui selepas majlis selesai akui bersyukur dan berterima kasih atas penghargaan yang diberikan untuknya.

“Alhamdulillah terima kasih kepada kawan-kawan, guru-guru yang meraikan kejayaan saya dan beri saya macam-macam hadiah.

“Sekarang saya sedang persiapkan diri untuk pertandingan perujian al-Quran peringkat negeri bulan depan dan fokus peperiksaan UPSR,” katanya.