MERSING - Sekolah Menengah Sains Sultan Iskandar (SMSSI), Mersing mengambil inisiatif melancarkan sudut membaca yang dinamakan ‘JDT Wall Of Fame’ di sekolah tersebut, baru-baru ini.

Pengetuanya, Abu Othman Ibrahim berkata, pihaknya berharap warga sekolah tersebut dapat memanfaatkan sudut berkenaan sebaiknya.

“Di sudut ini kita memaparkan banyak maklumat tentang negeri Johor, jadi, saya harap warga Iskandar menjadikannya sebagai sumber rujukan dalam pengajaran dan pembelajaran serta sumber ilmu tentang Johor.

“Syabas dan tahniah diucapkan kepada unit pusat sumber sekolah atas inisiatif serta komitmen dalam mewujudkan sudut JDT ini,” katanya.

Sudut JDT itu memaparkan maklumat tentang kesultanan Johor, peta, tempat-tempat menarik dan pusat pelancongan di negeri ini.

Selain itu, ia turut mempunyai maklumat tentang bendera di daerah Johor, lagu seperti Bangsa Johor, Muafakat Johor dan daerah Mersing serta info berkaitan pasukan bola sepak, Johor Darul Takzim (JDT).

Menurut Abu Othman, selain menyemarakkan budaya JDT dalam kalangan pelajar, sudut ini juga dapat menambahkan keceriaan sekolah.

“Kami berharap sudut ini dapat menanam sikap sayang kepada negeri Johor dan memperkenalkan keistimewaan serta kelebihan negeri ini,” katanya.

Pada masa sama, SMSSI turut melancarkan Kem Membaca 1Malaysia (KM1M) yang dijalankan selama seminggu dalam usaha menggalakkan budaya membaca dalam kalangan pelajar.

Antara tulang belakang yang menyiapkan sudut JDT di SMSSI, Mersing.