TANGKAK - MIC Tangkak mengambil pendekatan tersendiri dalam meringankan beban pihak sekolah apabila menyumbang kertas A4 kepada beberapa sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) dalam parlimen ini.

Pengerusi MIC negeri, Datuk M Asojan berkata, program julung kali itu bertujuan membantu pihak sekolah mendapatkan bahan bantuan mengajar yang lebih lengkap dan sempurna untuk murid.

“Menjelang musim peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), kami memahami keperluan penggunaan kertas A4 untuk murid. Justeru, kita memilih bentuk sumbangan ini untuk disalurkan kepada sekolah.

“Bantuan ini juga hasil sumbangan yang dikumpulkan secara bersama melibatkan pihak MIC dan ketua cawangan namun turut membabitkan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) termasuk daripada beberapa individu,” katanya ketika dihubungi.

Beliau yang juga Adun Gambir berkata, hampir 3,000 kertas diedarkan kepada tujuh sekolah jenis kebangsaan Tamil di sekitar kawasan Ledang dan Tangkak.

Katanya, walaupun sumbangan itu tidak sebesar mana, ia memberi manfaat kepada murid dan sekolah.