BATU PAHAT - SMK (P) Temenggong Ibrahim muncul juara acara Cabaran CCM Stem Up 2018.

Cabaran CCM Stem Up 2018 merupakan pertandingan sains untuk memupuk minat pelajar sekolah menengah dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (Stem) serta melahirkan pelopor masa depan Malaysia.

Guru Biologi sekolah ini, Bahiah Akil berkata, keputusan yang diumumkan sangat mengejutkan.

"Kami tak menjangka akan muncul juara kerana ini merupakan kali pertama menyertai pertandingan sains.

"Bagaimanapun, saya gembira untuk menyertai Cabaran CCM Stem UP 2018 kerana pengalaman ini telah membuka mata dan mendedahkan pelajar kepada kemahiran dan konsep Stem," katanya.

Peserta mencuba cabaran dalam Cabaran CCM Stem Up 2018.

Beliau berkata, pelajar telah bekerja keras dan membuat persiapan intensif sebelum pertandingan.

“Mereka melakukan beberapa eksperimen dan kutipan data berkaitan Stem. Malah bersama guru fizik, Norhayati Salamon, kami membincangkan dan menzahirkan idea untuk membangunkan pembersih vakum mini bagi kanak-kanak dengan ciri selamat, ringan dan mudah alih.

"Pembersih vakum mini ini menggalakkan mereka membantu ibu bapa membersihkan rumah dengan cara yang menyeronokkan. Pelajar telah melengkapkan projek sains mereka seminggu sebelum pertandingan dan berlatih sebelum membuat pembentangan kepada pengadil," katanya.

Fokus mendengar soalan kuiz yang memerlukan mereka menjawab dengan pantas dan betul.

Katanya,  pertandingan tersebut secara keseluruhannya amat mencabar kerana kuiz yang diadakan begitu sukar dan kami menghadapi persaingan dari sekolah lain.

"Walau apapun, saya amat berbangga dengan pencapaian pelajar kami. Lebih penting lagi, kami semua berpeluang untuk berhubung dengan sekolah lain yang turut serta dan melihat kemampuan mereka, yang telah memberi kami ilmu dan kefahaman berguna,” katanya.

SMK (P) Temenggong Ibrahim membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000, mesin cetak 3D, pingat, beg galas dan sijil pencapaian.

Sementara itu, SMK Tinggi Batu Pahat yang memenangi tempat kedua membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, teleskop astronomi, pingat, beg galas, kot makmal dan sijil pencapaian manakala SMK Dato Seth tempat ketiga dan memenangi RM2,000, projektor planetarium, pingat, beg galas dan sijil pencapaian.

Hakim menilai setiap projek sains berdasarkan kreativiti, proses kejuruteraan, ketelitian dan kejelasannya.

SMK Seri Gading pula memenangi Anugerah Projek Sains Paling Luar Biasa bagi Projek Pembersihan Air dan membawa pulang RM1,000.

Cabutan bertuah juga diadakan di pusingan akhir dengan menawarkan hadiah seperti alat penjejak kecergasan kesihatan, jam pintar, fon kepala tanpa wayar dan pengecas mudah alih.

Selain empat sekolah di atas, sebanyak 16 sekolah menengah lagi yang berjaya memasuki pusingan separuh akhir iaitu SMK Dato’ Bentara Luar, SMK Tun Aminah, SMK Senggarang, SMK Seri Medan, SMK Dato Onn, SMK Permata Jaya, SMK Datin Onn Jaafar dan SMK Banang Jaya.

Selebihnya SMS Batu Pahat, SMK Convent, SMK Munshi Sulaiman, SMK Tun Ismail, SMK Datuk Menteri, SMK Yong Peng, SMK Tunku Putra dan SMA Parit Raja.

Pelajar SMK (P) Temenggong Ibrahim menerima hadiah daripada sekretariat Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) untuk prestasi cemerlang mereka.

Dua fasa cabaran

Cabaran CCM Stem Up 2018 telah diadakan pada 2 hingga 24 April lalu dan terbahagi kepada dua fasa.

Fasa pertama diadakan dari 2 hingga 3 April, sempena Minggu Sains Kebangsaan 2018 anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia.

Manakala fasa kedua membabitkan pusingan separuh akhir dan pusingan akhir, kedua-duanya diadakan 24 April sempena Minggu Saham Amanah Malaysia 2018.

Pelajar SMK (P) Temenggong Ibrahim dianugerahkan tempat pertama kerana persembahan cemerlang dalam pelbagai pertandingan dalam Cabaran CCM Stem Up 2018.

Pertandingan anjuran Chemical Company of Malaysia Berhad (CCMB) dengan kerjasama Akademi Sains Malaysia (ASM).

Ia terbuka kepada pelajar tingkatan empat dan tingkatan lima dari aliran Sains atau kelab sains sekolah di Batu Pahat.

Pengarah Urusan Kumpulan CCMB, Nik Fazila Nik Mohamed Shihabuddin berkata, langkah memupuk daya kreativiti, pemikiran kritikal dan kemahiran menyelesaikan masalah amat penting dalam Revolusi Perindustrian Keempat yang sedang melanda dan memberi penekanan kepada sains serta teknologi bagi mengubah cara orang ramai hidup dan bekerja.

Naib juara, SMK Tinggi Batu Pahat ceria dengan hadiah kemenangan.

“Perkembangan sains dan teknologi telah mengubah kehidupan kita dalam pelbagai cara.

"Menerusi Stem, industri seperti bahan kimia dan polimer yang melibatkan CCMB telah memperkenalkan produk dan rumusan inovatif menerusi penyelidikan meluas dan pendekatan interaktif," katanya.

Kata beliau, Cabaran CCM Stem Up 2018 bukan sahaja mengukuhkan minat pelajar dalam Stem tetapi juga membentuk minda yang bersifat ingin tahu, ketelitian dan kemahiran analitis kukuh untuk membolehkan mereka melaksanakan proses pemilikan kompleks dalam apa jua keadaan.

Kumpulan pelajar SMK Dato Seth yang memenangi tempat ketiga dalam Cabaran CCM Stem Up 2018.

Sementara itu, Felow Akademi Sains Malaysia, Profesor Dr Yang Farina Abdul Aziz memuji usaha CCMB meningkatkan minat pelajar mempelajari Stem menerusi Cabaran CCM Stem UP 2018.