MERSING - Golongan muda hari ini terutama dalam kalangan pelajar sekolah rata-rata menyedari mengenai bahaya melakukan hubungan seks rambang atau luar nikah, namun kurang menerima pendedahan yang sewajarnya.

Pegawai Pelindung Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Mersing, Nurul Fahmi Bachok berkata, pihaknya kini merancang mengadakan program motivasi khusus buat pelajar sekolah di daerah ini, sebagai usaha membantu meningkatkan tahap kesedaran mereka.

“Program motivasi buat golongan pelajar sekolah perlu diadakan, supaya golongan sasar ini sedar mengenai risiko dan bahayanya seks luar nikah.

“Mereka (pelajar) tahu apa itu seks luar nikah. Mereka faham akibat perbuatan itu. Selain berdosa, si pelaku juga berdepan risiko hamil selain terdedah kepada penyakit, namun nampaknya masih kurang pendedahan sewajarnya diberikan kepada mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Nurul Fahmi berkata, bagi menjayakan seminar kesedaran itu, pihaknya menyasarkan pelajar dari kawasan Endau dan Felda Tenggaroh, justeru kini turut berusaha mencari pihak yang sudi menghulurkan sumbangan bagi melaksanakan program tersebut.

Mengulas lanjut mengenai seminar itu, Nurul Fahmi berkata, golongan wanita seharusnya bertegas dan memainkan peranan penting untuk mempertahankan maruah diri.

“Anak-anak perempuan kita sendiri perlu tegas. Jangan semudahnya belanja atau dedah apa yang tak perlu.

Kalau lelaki ajak, anda boleh tolak sebab yang bawa perut selama sembilan bulan, yang sakit, yang tanggung itu semua adalah kamu,” katanya.

Menurutnya, banyak kes berlaku melibatkan gadis bawah umur antara 13 hingga 15 tahun, mengandung selepas mengadakan hubungan dengan teman lelaki yang baru dikenali dan berjumpa dua atau tiga kali.

“Nak salahkan ibu bapa tak boleh juga. Semuanya berbalik kepada diri anak gadis sendiri sebab mereka bertanggungjawab terhadap diri sendiri.

“Ada kes yang mak ayah dah tidur, kunci pintu depan belakang. Tapi si anak yang bukakan pintu untuk teman lelakinya,” katanya.

Menurutnya, pengaruh media sosial turut menyumbang kepada perbuatan haram tersebut.