BATU PAHAT - Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Senggarang bertuah kerana akan diberikan imbuhan jika mencatat kehadiran 100 peratus.

Pihak sekolah itu menawarkan sebanyak empat motosikal jenis SYM e-Bonus 110 bernilai RM13,600 yang menjadi buruan kira-kira 1,226 pelajar, selain menjadi galakan kepada mereka rajin ke sekolah.

Pengetuanya, A S Aziz Salem berkata, usaha ini adalah cetusan idea daripada Guru Penolong Kanan (GPK) Hal Ehwal Murid sekolah, Norasyidah Mohd Rasip yang mahukan pelajar tidak mengamalkan budaya ponteng.

Menurutnya, dalam masa sama ia akan dapat memenuhi kehendak Pengukur Indeks Prestasi (KPI) iaitu sebanyak 95 peratus kehadiran pelajar ke sekolah seperti yang ditetapkan Kementerian Pendidikan.

“Idea ini mula dilaksanakan sejak Januari lalu dengan sokongan padu Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta persatuan alumni sekolah yang diterajui usahawan tempatan, Datuk A Halim Mohamed yang menaja hadiah berkenaan.

“Bagi kehadiran pelajar pada bulan Januari, ia mencapai 96 peratus, 93 peratus pada Februari dan 94 peratus pada Mac. Dalam tempoh itu seramai 800 pelajar mencatat kehadiran 100 peratus.

“Selain hadiah empat motosikal, pihak sekolah turut mengadakan cabutan bertuah dengan 20 cabutan pada perhimpunan mingguan yang diadakan,” katanya.

Sementara itu, pelajar tingkatan lima sekolah tersebut, Mohamad Nur Rahimi Wagini, 17, memberitahu dia gembira dengan hadiah motosikal dimenanginya itu dan berjanji akan menggunakannya sebaik mungkin.

Manakala ibunya, Saniah Sulong, 54, berkata, anak kelima daripada enam beradik itu bersyukur dengan hadiah diperolehinya itu dan berharap inisiatif seperti ini akan diteruskan.

“Anak saya tak sangka menang hadiah utama tu dan dia bersyukur selain berjanji akan menggunakan motosikal itu untuk perkara kebaikan. Dia juga berjanji akan belajar bersungguh-sungguh.

“Saya harap inisiatif dilaksanakan itu dapat membakar semangat pelajar untuk hadir setiap hari, sekali gus memastikan jadual pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang diatur dapat dijayakan,” katanya.