SEGAMAT – Kecenderungan pelbagai pihak mempertikaikan kedudukan raja-raja Melayu, hak keistimewaan orang Melayu dan kesucian agama Islam belakangan ini membuktikan ada rakyat negara ini yang tidak memahami kandungan Perlembagaan Persekutuan.

Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Abdul Manap berkata, Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang bertulis tertinggi di negara ini mesti difahami dan dihayati semua yang bergelar warganegara Malaysia.

“Kita kena menerima hakikat bahawa tidak ramai rakyat negara ini yang memahami dan menghayati kandungan Perlembagaan Persekutuan. Malah tidak keterlaluan jika saya katakan terdapat segelintir dalam kalangan mereka memang tidak ambil peduli langsung.

“Bagi mengatasi masalah tersebut, satu kajian perlu dibuat dengan segera oleh Kementerian Pendidikan agar Perlembagaan Persekutuan diajar di sekolah seawal peringkat menengah rendah lagi,” katanya selepas merasmikan Pertandingan Sketsa Rukun Negara Kelab 1Malaysia peringkat negeri di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Segamat, di sini, Ahad lalu.

Anuar berkata, satu kajian menyeluruh perlu digerakkan dengan segera bagi menilai keperluan menjadikan Perlembagaan Persekutuan sebagai subjek di sekolah kerana gesaan untuk menghayati dan mengamalkan prinsip Rukun Negara tidak memberi kesan secara jelas.

“Tidak dinafikan dalam subjek Pengajian Am di tingkatan enam ada mengupas kandungan Perlembagaan Persekutuan. Namun, itu tidak mencukupi kerana tidak diajar secara khusus, malah bilangan mereka terlalu kecil dan tidak mewakili keseluruhan pelajar di negara ini.

“Semua perkara yang dipertikaikan pihak tertentu termasuk perkara yang menyentuh kesucian agama Islam, hak orang Melayu dan raja tidak sepatutnya berlaku sekiranya mereka memahami kandungan serta bagaimana Perlembagaan Persekutuan dibuat,” katanya.

Menurutnya, Perlembagaan merupakan satu jaminan taat setia rakyat kepada negara seperti dijelaskan dalam perkara 24 dan 25 yang menyatakan warganegara yang mempunyai kerakyatan negara lain dan terbukti tidak setia kepada negara boleh dilucutkan kerakyatannya.

“Selain itu, rakyat juga perlu diperjelaskan berkenaan perkara 152 dan fasal 1 perkara 3 masing-masing yang menyentuh secara jelas berhubung Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi serta agama Islam sebagai agama rasmi di negara ini,” katanya.