MARANG - Temasya sukan tahunan Sekolah Kebangsaan (SK) Jenang yang berlangsung kelmarin cukup istimewa dan barangkali lain daripada yang lain berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Ini kerana, acara cabutan bertuah turut diadakan dan sebanyak 10 hadiah cabutan bertuah disediakan, dalam masa sama ibu bapa murid juga terlibat dalam aktiviti sukaneka.

Ibu bapa yang hadir menyifatkan penganjuran temasya sukan berlangsung meriah dengan prestasi membanggakan apabila murid berjaya mengharumkan nama rumah masing-masing.

Guru besarnya, Khairil Amin Mohamed berkata, kebangkitan atlet sekolah dalam kejohanan olahraga ini jelas membuktikan bahawa atlet-atlet terbabit setanding dengan atlet sekolah ternama lain.

“Berbekalkan semangat dan keazaman tinggi, segala cabaran berjaya dihadapi dengan tenang.

"Semangat perjuangan seperti ini yang ingin kita lihat dalam diri setiap murid," katanya.

Beliau turut menyifatkan, pembabitan atlet dalam arena sukan tidak harus terbatas kepada objektif untuk mencatat kemenangan semata-mata.

Apa yang lebih penting, menurut beliau, atlet-atlet sekolah harus mempamerkan semangat kesukanan dan tahap disiplin yang tinggi ketika mengambil bahagian.

Majlis perasmian temasya sukan itu disempurnakan Ketua Wilayah Bank Rakyat Kelantan dan Terengganu, Azman Abd Aziz seterusnya perbarisan masuk kontinjen rumah sukan ke padang.

Sejurus tamatnya perarakan rumah-rumah sukan, acara olahraga berlangsung dan masing-masing mempamerkan gelagat dan aksi terbaik mereka.

Dua atlet dipilih memenangi anugerah olahragawan dan olahragawati terbaik.

Olahragawan terbaik dimenangi Basyir Mohd Sha manakala olahragawati Nur Adibah Rosdi.

Temasya ini turut memperlihatkan penguasaan rumah kuning dan penguasaan itu membolehkan rumah itu dinobatkan sebagai rumah terbaik temasya sukan sekolah diikuti merah dan hijau.