Media sosial bukanlah satu-satunya faktor utama yang menjadi punca pelajar terjerumus dengan kegiatan negatif, sebaliknya ia bermula dengan masalah dalaman yang dihadapi generasi muda itu sendiri.

Setiausaha Kluster Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Ahmad Zaki Abu Bakar berkata, media sosial hanyalah medium yang digunakan untuk mencari perhatian dan kepuasan.

“Saya tidak menolak bahawa media sosial juga antara penyumbang kepada masalah sosial di kalangan remaja, tapi apakah penyebab golongan ini memilih untuk lebih mempercayai media sosial.

“Sebenarnya terdapat pelbagai punca masalah remaja hari ini termasuklah masalah keluarga, kehidupan dan sebagainya. Mungkin juga institusi kekeluargaan itu sendiri gagal mengawal dan memberi sepenuh perhatian sehingga mereka mencari kekurangan itu di media sosial,” katanya, semalam.

Mengulas lanjut mengenai ancaman media sosial, beliau turut mengingatkan masyarakat terutama ibu bapa supaya tidak terlalu mudah berkongsi maklumat terperinci mengenai aktiviti harian kerana ia hanya mengundang perkara tidak diingini.

“Ada ibu bapa yang gemar berkongsi aktiviti harian anak-anak tanpa mereka sedar perbuatan itu hanya akan memberi peluang kepada penjenayah melakukan perkara yang tidak dijangka seperti penculikan atau sebagainya.

“Dalam hal ini kita melihat, tidak salah untuk berkongsi momen peribadi, namun ia perlu ada hadnya,” katanya.

Menurutnya, masalah sosial dan aktiviti jenayah yang berpunca daripada media sosial boleh ditangani sekiranya masyarakat lebih menyedari kebaikan dan keburukan teknologi tanpa sempadan ini.