GEORGETOWN - Seramai 101 pelajar ditauliahkan pangkat lans koperal selepas selesai menjalani Kem Jati Diri 1/2018 peringkat daerah Barat Daya yang diadakan pada Februari lalu.

Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teluk Bahang, Leftenan Kolonel Kadet Remaja Sekolah (KRS) Abdul Said Hussain berkata, kem yang diadakan pada 23 hingga 25 Februari itu disertai pelajar tingkatan satu dari beberapa sekolah di negeri ini.

Antaranya, SMK Tasek, SMK Batu Kawan, SMK Tanjong Bunga dan SMK Pondok Upeh.

“Kem ini bertujuan untuk membina jati diri pelajar, membina keyakinan serta keberanian pelajar dalam melaksanakan pelbagai aktiviti yang mencabar. Pelajar menjalani pelbagai aktiviti antaranya perlembagaan; orienteering; rempuh halangan; ikatan; bantu mula, kawad kaki serta aktiviti reka cipta.

“Seramai 101 murid telah ditauliahkan pangkat lans koperal melibatkan lima buah sekolah iaitu SMK Teluk Bahang (76  orang), SMK Tasek (lima), SMK Pondok Upeh (10), SMK Batu Kawan (enam) dan SMK Tanjong Bunga (empat),” katanya.

Sementara itu, Abdul Said berkata, Majlis Pentauliahan Pangkat Guru KRS peringkat daerah Barat Daya 2018 turut diadakan pada 13 Januari lalu.

Menurutnya, kesemua guru SMK Teluk Bahang ditauliahkan pangkat sebagai Mejar KRS (seorang), Kapten KRS (lapan), Leftenan (11) serta Leftenan Muda KRS (23 orang).

“Terdapat juga penyertaan guru daripada sekolah daerah Barat Daya serta sekolah berhampiran.  Guru-guru KRS diberi pendedahan berkaitan penerapan modul KRS seperti bantu mula; ikatan; kawad kaki; pengucapan awam, pemakaian KRS dan orienteering.

“Ternyata kursus pentauliahan pangkat ini sangat membantu dalam pelaksanaan aktiviti KRS kepada murid. SMK Teluk Bahang menyasarkan kursus kenaikan pangkat kepada guru-guru dilaksanakan setiap tahun bagi memaksimumkan kemenjadian murid,” katanya.

Menurutnya, pencapaian SMK Teluk Bahang amat membanggakan berikutan komitmen dan sokongan guru terhadap ilmu KRS.

“Saya amat berbangga dengan komitmen dan sokongan padu guru-guru dalam memartabatkan diri dengan ilmu KRS. Mereka juga sanggup hadir mengikuti kursus pentauliahan pada hari Sabtu untuk persiapan diri sebagai guru KRS yang mantap.

“Pelajar juga menunjukkan perubahan yang ketara dalam aspek kepimpinan, sahsiah unggul dan jati diri yang hebat. Guru-guru sentiasa menerapkan nilai kasih sayang, sahsiah terpuji serta kualiti kepimpinan bagi memastikan hasrat kementerian dalam aspek kemenjadian murid tercapai,” katanya.

Beliau berkata, sehingga 31 Mac tahun ini, sebagai sekolah berwatak KRS, SMK Teluk Bahang berjaya mempunyai sejumlah pelajar yang sudah ditauliah iaitu 12 pelajar sebagai Pegawai Waran, 22 sebagai Staf Sarjan, 152 sarjan, 195 sebagai koperal dan 72 sebagai lans koperal.