BUKIT KAYU HITAM -  Kementerian Pendidikan (KPM) kini sedang merangka peraturan dan pekeliling bagi menetapkan penggunaan dan alat peranti yang dibenarkan dibawa ke sekolah.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pada masa ini hanya tablet dibenarkan dan pelajar dilarang membawa telefon bimbit kerana dilihat mengganggu serta menjejaskan tumpuan pelajar di dalam kelas.

"Kebenaran membawa alat peranti ke sekolah awal tahun depan hanya sebagai tambahan untuk membuat rujukan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P) secara interaktif, bukannya belajar menggunakan alat itu sepanjang masa," katanya.

Mahadzir (tengah) bersama anggota pengakap dari dalam dan luar negara pada Majlis Perasmian Jambori Pengakap Negeri Kedah, kelmarin.

Menurut beliau, proses P&P di dalam kelas tetap berlangsung seperti biasa dan penggunaan alat peranti itu juga mungkin dibenarkan pada  waktu tertentu.

“Bukan digunakan dari jam 7.45 pagi hingga 2 petang. Mungkin dua jam, tetapi kita tidak putuskan lagi (sama ada) dua jam atau tiga jam waktu yang dibolehkan menggunakan alat peranti,” katanya.

Mahdzir (kanan) ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Jambori Pengakap Negeri Kedah.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Jambori Pengakap Negeri Kedah kali ke-5 dan Persaudaraan Antarabangsa 2017, dihadiri lebih 4,000 peserta termasuk dari Thailand dan Indonesia, di sini, kelmarin.

Katanya, pendekatan murid dan pelajar membawa alat peranti itu sudah lama dilaksanakan di sekolah berasrama penuh dan berprestasi tinggi serta di sekolah antarabangsa mahupun swasta.

Mahdzir (tiga, kiri) beramah mesra dengan sebahagian penerima anugerah dari Thailand.