KUALA NERANG - Kementerian Pendidikan sedang berusaha menambahbaikkan sistem pendidikan awal kanak-kanak menerusi kajian terperinci yang akan dilaksanakan oleh Jawatankuasa Pendidikan Awal Kanak-Kanak Kebangsaan.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, jawatankuasa itu terdiri daripada pakar pendidikan daripada beberapa kementerian dan akan diterajui oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

“Selain KPM, beberapa agensi kerajaan seperti Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Permata Negara (Permata).

“Kita mempunyai banyak taska dan tadika melalui kementerian serta agensi terbabit dan memer lukan penambahbaikan sistem pelajaran dan kokurikulum di bawah satu landasan bagi menentukan masa depan anak-anak iaitu kanak-kanak yang berusia sehari hinggalah enam tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Kasihi Pekebun dan Penyampaian Skim Biasiswa Anak Pekebun Kecil Risda Padang Terap di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Nerang, semalam.

Menurutnya, jawatankuasa itu juga merujuk kepada sistem pendidikan awal kanak-kanak di luar negara yang boleh dijadikan contoh untuk dilaksanakan di Malaysia.

Bagi penambahbaikan itu, KPM juga akan memastikan setiap guru pendidikan awal kanak-kanak perlu mempunyai sekurang-kurangnya diploma pendidikan tersebut.

“Taska dan tadika sekarang yang ada semuanya baik tapi kita perlu penambahbaikan contohnya berapa minit kanak-kanak itu akan belajar, bermain dan aktiviti lain yang mungkin akan diselaraskan.

"Begitu juga dengan taska dan tadika swasta yang akan dipantau oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat supaya selaras dengan sistem pembelajaran yang sedia ada,” katanya.

Turut hadir, Pegawai Risda Padang Terap, Jasni Abdul Aziz. Jasni berkata, pada majlis itu, seramai 48 pelajar terdiri daripada anak pekebun kecil menerima biasiswa sebanyak RM500 secara on off.

"Pelajar tingkatan lima ini terdiri daripada lapan sekolah di sekitar Padang Terap.

"Penerima biasiswa daerah ini merupakan antara paling ramai selepas mereka dipilih melalui beberapa kriteria seperti mencatat keputusan peperiksaan awal tahun sekurangnya mendapat 4C bagi subjek teras dan pendapatan keluarga yang rendah,” katanya.