ALOR SETAR - Seramai 61 guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultanah Asma di sini, sanggup mengeluarkan wang sendiri untuk membantu membeli baju raya kepada 39 pelajarnya yang kurang berkemampuan.

Pelajar, Nur Ain Abu Bakar,16, berkata, dia sangat bersyukur atas usaha guru-guru yang sudi membawanya membeli baju raya.

“Ayah belum mampu membeli baju raya untuk saya  tahun ini.  Alhamdu–lillah, saya gembira kerana sudah ada baju baru untuk dipakai semasa Aidilfitri,” katanya yang merupakan anak seorang petani.

Manakala Araini Atiqah Mazlan,15, berkata dia berasa sangat bertuah kerana mendapat dua pasang baju raya buat pertama kalinya pada tahun ini.

Anak kedua dari tujuh adik beradik ini berkata, sepasang baju raya telah disediakan keluarganya, manakala sepasang lagi diberikan guru sekolah berkenaan.

Araini berkata, dia berharap bantuan baju raya seumpama itu diteruskan lagi pada masa hadapan bagi membantu pelajar-pelajar miskin, sekaligus memberi motivasi untuk belajar bersungguh-sungguh.

Bagi Pengetua SMK Sultanah Asma, Zurina Abdul Hamid, setiap pelajar boleh memilih sepasang baju raya yang mereka suka sebelum guru membayar untuk mereka.

“Apabila membawa pelajar memilih sendiri pakaian raya, kita boleh nampak wajah kegembiraan terpancar di wajah mereka yang dipilih daripada keluarga yang kurang berkemampuan dan tinggal di asrama kerana rumah mereka luar dari daerah Kota Setar,” katanya.

Zurina berkata, beliau berharap inisiatif berkenaan meningkatkan lagi motivasi pelajar terbabit, sekaligus menunjukkan kepada mereka bahawa guru sentiasa prihatin dan peduli dengan keadaan mereka.