Seramai 60 pelajar terdiri daripada pengawas dan Exco asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Putera mengikuti Kursus Kepimpinan Pelajar di Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Batu Jong, Kuala Krai.

Tujuan utama kem itu adalah untuk melahirkan barisan pemimpin yang berketerampilan dan mampu menjadi contoh serta model kepada pelajar lain.

Antara pengisian dalam program itu adalah aktiviti yang mencabar mental dan fizikal seperti merempuh halangan, kawad kaki, jungle trekking, ceramah kepimpinan selain persembahan malam kebudayaan.

Ketua pelajar, Nur Syamimie Akhmal Arif berkata, dia teruja dapat menyertai kem kali ini bersama rakan-rakan lain dan berharap pihak sekolah akan meneruskannya untuk junior mereka selepas ini.

“Saya berasa amat gembira kerana diberi peluang menyertai kem kepimpinan di PLKN Batu Jong, Kuala Krai.

“Ini merupakan pengalaman baru yang tidak akan saya lupakan.

“Banyak kebaikan yang saya dan rakan-rakan dapat seperti bekerjasama dalam kumpulan, bagaimana menguruskan masa dengan betul dan belajar mendengar arahan dengan baik," katanya.

Nur Syamimie turut mengucapkan terima kasih kepada guru-guru yang mengiringi mereka dan juga jurulatih PLKN yang telah memberi tunjuk ajar serta peluang kepada mereka menyertai aktiviti lasak.

“Antara aktiviti yang paling kami ingati ialah mendaki bukit yang diberi nama Bukit Rindu Bayangan. Ramai yang mengaitkannya dengan lagu popular penyanyi terkemuka tanah air sebelum ini,” katanya.